Diturunkan Serentak, Surah Al-Falaq Dan An-Nas Mengikuti Peristiwa Rasulullah SAW Disihir

Setiap manusia akan atau pernah merasai ujian dalam kehidupan. Dalam Islam sendiri disebut bahawa Allah SWT tidak akan menjatuhkan sesuatu bebanan kepada hambanya di luar batas kemampuannya.

Kita juga mempelajari bagaimana Nabi dan Rasul turut menghadapi pelbagai halangan dan cabaran seperti yang termaktub kisahnya di dalam al-Quran. Pernahkah anda tahu mengenai kisah baginda Rasulullah, Nabi Muhammad SAW, yang telah disihir oleh seorang Yahudi? Pengajaran daripada kisah ini boleh difahami melalui Surah Al-Falaq dan An-Nas yang diturunkan serentak.

Baginda Rasulullah yang juga kekasih Allah ini diuji dengan berat sekali dalam bentuk sihir yang yang dihantar oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq. Peristiwa ini berlaku pada bulan Zulhijjah, tahun ketujuh hijriah, selepas berlakunya perang Khaibar.

Labid bin Aksam, seorang tukang sihir, didatangi sekumpulan Yahudi yang memintanya untuk menyihir Rasulullah. Mereka memberi Labid rambut Rasulullah yang terdapat pada gigi sikat rambut milik baginda yang dicuri mereka.

Tukang sihir tersebut membuat patung berupa Nabi Muhamad SAW daripada lilin, lalu ditikam dengan sebelas bilah jarum dan disimpul dengan sebelas ikatan. Kemudian dicampakkan ke dalam telaga keluarga Zarwan di mana telaga baginda selalu mandi. Ia membuahkan hasil dan baginda terkena sihir selama 40 hari.

Apa kesan sihir kejam ini terhadap Rasulullah? Dalam sebuah hadis, Syaidatina Aisyah r.a. menceritakan bahawa baginda mengalami sakit tenat sehingga berasa tidak keruan dan mengigau.

Baginda turut berasa ragu-ragu apabila melakukan ibadah. Terdapat satu kejadian di mana baginda mendirikan solat dua rakaat walhal ianya adalah solat empat rakaat. Sahabat baginda bertanya kepada Rasulullah sama ada ianya syariat baru, dan baginda menjawab tidak.

“Adakah aku solat dua rakaat?” Tanya Nabi SAW. Sahabat baginda menjawab, “Ya, ya Rasulullah.” Lalu baginda terus menambah dua rakaat lagi berserta sujud sahwi sebanyak dua kali atas kesilapan tersebut.

Pada satu malam, Rasulullah berdoa meminta petunjuk dan pertolongan dari Allah SWT, sehinggalah Allah mendatangkan Jibril AS untuk meruqyah (merawat) baginda.

Surah Al-Falaq dan surah An-Nas dikenali sebagai surah ‘Mu’awwidataini’. Kedua-duanya diturunkan secara serentak apabila Rasulullah didatangi dua malaikat ketika baginda sedang tidur. Salah seorangnya duduk di sebelah kepala manakala yang seorang lagi di sebelah kaki. Surah inilah yang dibaca untuk menghapuskan gangguan sihir tersebut.

Surah-surah ini menceritakan mengenai sifat iri hati dan hasrat dengki. Allah SWT memberi petunjuk kepada Rasulullah mengenai sihir tersebut dengan diturunkan ayat ini sebagai bacaan perlindungan.

Kita boleh mengamalkan kedua-dua surah ini sebagai langkah melindungi diri daripada sihir serta penyakit was-was. Sebab itu, setiap kali sebelum menunaikan solat, surah ini dibaca agar terhindar daripada rasa tidak khusyuk.

Bacaan menarik lain:

Sumber: