Pada 10 Jun 1990, sebuah pesawat British Airways 5390 dijadualkan untuk berlepas dari Lapangan Terbang Birmingham di England ke Malaga dekat Sepanyol namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Selepas 13 minit, salah satu tingkap pesawat berkenaan pecah dan ia turut menyebabkan Kapten Tim Lancaster disedut keluar dari tempat duduk beliau pada ketinggian 17,300 kaki.

Tuah bagaimanapun menyebelahi dirinya apabila seorang pramugara bernama Nigel Ogden bertindak pantas memegang kaki juruterbang tersebut.
Sepanjang insiden tersebut, juruterbang kedua iaitu Alastair Atchinson cuba untuk mengawal kapal terbang berkenaan sebelum ia berjaya mendarat di Lapangan Terbang Southampton.
Insiden British Airways 5390

Pesawat yang membawa 81 orang penumpang itu dijadualkan untuk berlepas ke Malaga di Sepanyol pada 10 Jun 1990. Terdapat empat orang kru kabin dan dua juruterbang bertugas pada hari berkenaan.
Namun, satu letupan besar berlaku di dalam kokpit pesawat pada ketinggian 17,300 kaki sehingga salah satu tingkap kapal terbang di hadapan Tim pecah dan terpisah daripada pesawat.
Susulan insiden tersebut, Tim telah disedut keluar tetapi beliau berjaya diselamatkan oleh Nigel yang kebetulan masuk ke dalam kokpit selepas mendengar letupan kuat.
Ketika Alastair cuba untuk menghubungi pengawas pengendali lalu lintas udara untuk melakukan pendaratan kecemasan, Tim yang tergantung di luar mula mengalami frostbites kerana keadaan sejuk yang melampau.
Sekiranya Tim terlepas daripada genggaman Nigel, beliau akan melanggar salah satu enjin atau bahagian sayap kapal terbang. Jika perkara itu berlaku, nyawa semua penumpang pesawat tersebut termasuk Tim akan berada dalam keadaan bahaya.
Selepas 18 minit terbang dengan tingkap pecah, pesawat itu berjaya mendarat di Lapangan Terbang Southampton. Nigel mengalami radang dingin pada bahagian wajah dan bahunya terseliuh serta mata kirinya dilaporkan tercedera. Tim pula mengalami radang dingin dan turut mengalami kecederaan pada lengan, pergelangan tangan serta ibu jari.
Punca insiden
Memetik laporan Aircraft Accident Report, tingkap yang berada di hadapan Tim baru sahaja dipasang tetapi ukuran skru yang digunakan adalah terlalu kecil.
15 tahun selepas insiden tersebut, tragedi ini telah didokumentasikan dalam sebuah dokumentari bertajuk Air Crash Investigation – Blow Out yang disiarkan di National Geographic pada tahun 2005.
Nigel dan Tim mengalami kecederaan manakala semua penumpang terselamat daripada insiden berkenaan. Apa yang akan anda lakukan sekiranya berada dalam pesawat tersebut?
Dalam pada itu, anda boleh juga tonton video tentang kisah juruterbang ini di bawah.