Empat hari lepas (10 Mei) merupakan sambutan Hari Ibu di beberapa buah negara termasuk Malaysia. Walau bagaimanapun, sambutan Hari Ibu pada tahun ini disambut dalam keadaan normal baharu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.
Hari Ibu kebiasaannya disambut untuk menunjukkan tanda penghargaan kepada wanita yang telah mengorbankan kehidupannya demi kebahagian anak mereka.
Namun, tahukah anda bagaimana Sambutan Hari Ibu ini bermula? Mari penulis kongsikan sejarah sambutan Hari Ibu!

Sebenarnya, pencipta Hari Ibu iaitu Anna Maria Jarvis dari West Virginia bukanlah seorang ibu. Anna Maria yang sering berjuang mengenai isu berkaitan golongan ibu ini dikatakan tidak mempunyai zuriat. Walau bagaimanapun, ibunya, Ann Reeves Jarvis, mempunyai 13 anak.
Ann Reeves merupakan pengasas Kelab Kerja Hari Ibu, yang membawa golongan ibu untuk bersama-sama menyuarakan isu semasa kepada masyarakat.
Semasa kerjayanya bersama kelab ini, Ann Reeves menyumbang pelbagai idea untuk meraikan Hari Ibu dan mengumumkan cuti umum sempena sambutan Hari Ibu di Amerika Syarikat.
Selepas tiga tahun kematian ibunya, Anna Maria menganjurkan majlis untuk menghormati ibunya dan semua golongan ibu. Semenjak daripada itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di seluruh dunia.
Kemudian pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai hari cuti umum dan mesti diraikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Walaupun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan, tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, Belgium termasuk Malaysia masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.
Bagi Anna Maria, dia tidak gemar dengan komersialisasi yang dilakukan menjelang sambutan Hari Ibu, termasuk kad ucapan dan industri bunga. Menurutnya ia akan menghilangkan mesej asal ‘cuti’ ini.
Menurut buku Malcolm Forbes berjudul ‘Women Who Made a Difference’, Anna Maria berpendapat bahawa kad yang dicetak tidak membawa kepada sebarang maksud melainkan seseorang itu terlalu malas untuk menulis kepada wanita yang telah menjaganya sejak mereka dilahirkan.
Sementara itu menurut Pusat Penyelidikan Yew, carian Google untuk jambangan bunga sempena Hari Ibu adalah lebih tinggi daripada Hari Valentine.

Jadi, bagaimanakah sambutan Hari Ibu anda pada lima hari yang lepas? Kongsikan pendapat atau pengalaman anda di ruangan komen di bawah.