Disambut Pada 8 Mac Setiap Tahun, Ini Adalah Sejarah Sambutan Hari Wanita Sedunia

Apa yang istimewanya tarikh 8 Mac setiap tahun? Untuk pengetahuan semua, tarikh 8 Mac merupakan hari yang istimewa untuk kaum wanita seluruh dunia kerana pada tarikh ini mereka akan diraikan dengan sambutan Hari Wanita Sedunia.

Tema pada tahun 2020 ini ialah ‘Seimbang Untuk Sejahtera’ merujuk kepada penyertaan dan perwakilan wanita yang lebih baik, bukan hanya di tempat kerja tetapi di dalam semua bidang yang diceburi.

Selalunya, di sebalik kejayaan seseorang lelaki itu ada seorang wanita di belakangnya. Keindahan dan kecantikan seseorang wanita itu terletak pada sejauh mana dia dapat menjaga maruahnya. Kebijaksanaan wanita pula terletak pada hatinya. Wanita lebih cepat menangis berbanding lelaki, itu memang sifat azalinya.

Tetapi sebenarnya anda tahu tak mengapa Hari Wanita Sedunia disambut setiap tahun? Atau anda hanya menyambutnya kerana ada sambutan sahaja? Anda perlu tahu serba sedikit sejarah dan asal usul mengenai Hari Wanita Sedunia.

Hari Wanita Sedunia disambut besar-besaran pada 28 Februari 1908 di New York. Anggaran yang menyertai sambutan tersebut seramai 15,000 wanita yang berarak di laluan bandar New York.

Perarakan diadakan setiap tahun pada hari yang sama sehingga tahun 1913. Tujuan utama perarakan tersebut diadakan adalah untuk menuntut beberapa perkara iaitu pengurangan waktu bekerja, gaji yang setimpal dan hak mengundi untuk wanita.

Lain pula di Eropah, sambutan Hari Wanita diadakan pada 8 Mac setiap tahun sehingga ke hari ini.

Mac dipilih sebagai bulan sambutan Hari Wanita kerana 8 Mac 1917 adalah hari pertama Revolusi Rusia. Golongan pekerja wanita yang bekerja di kilang tekstil keluar dari kilang kerana tiada bekalan roti seterusnya menyebabkan ramai keluarga kelaparan.

Selain daripada memperjuangkan hak-hak wanita, Persidangan Wanita Sosialis di Copehgahen juga bercadang untuk menuntut hak perlindungan sosial kepada ibu dan kanak-kanak, perlindungan kesihatan, cuti bersalin, menuntut waktu bekerja lapan jam sehari, perbincangan mengenai kerja pada waktu malam serta persoalan perang dan keamanan untuk negara.

Hari Wanita Antarabangsa diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1975. Persidangan Wanita Sedunia yang pertama telah diadakan di Maxico City.

Pada 1995, Malaysia telah menandatangani Konvensyen tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) iaitu dokumen penting yang menggariskan hak wanita.

Kini, perjuangan hak sama rata masih diteruskan untuk keadilan penuh. Kaum wanita akan membanting tulang bersama-sama kaum lelaki untuk mempertahankan keamanan, kemakmuran dan persefahaman antara kaum dan bangsa.