Seperti yang anda sedia maklum, hari ini adalah cuti umum sempena Hari Buruh. Oleh sebab kita sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang tidak sedar. Memandangkan hari ini adalah Hari Buruh, dan banyak isu berkaitan pekerjaan sedang berlaku dan dibangkitkan.
Sambutan ‘May Day’ ini telah bermula di Amerika Syarikat pada sekitar tahun 1880. Pada masa itu, Amerika Syarikat sedang berada dalam zaman Gilded Age (1865-1900), merupakan satu zaman yang terkenal dengan amalan sistem ekonomi laissez faire di mana pihak kerajaan tidak boleh campur tangan dalam ekonomi. Dengan amalan tersebut, industri telah berkembang dengan pesat dan negara Amerika Syarikat telah menjadi kuasa ekonomi terbesar di dunia.
Pada masa itu, peranan kerajaan pusat sangat lemah yang mana telah membolehkan pihak golongan kapitalis untuk menguasai ekonomi. Untuk menghasilkan keuntungan yang maksimum, para pekerja kilang telah dipaksa untuk bekerja daripada 12 jam sehingga 14 jam, malahan ada yang sampai 16 jam sehari serta tiada hari cuti diberikan.
Masa itu juga tidak ada satu undang-undang pun yang mewajibkan kanak-kanak untuk bersekolah, makanya pekerja kanak-kanak ataupun bawah umur pada masa tu adalah satu perkara biasa. Sadis bukan?

Para pekerja kilang yang telah sedar akan penindasan tersebut telah memperjuangkan idea bekerja selama 8 jam sahaja sehari (eight hours labour, eight hours recreation, eight hourst rest). Untuk memperjuangkan hak tersebut, mereka telah mogok dan berarak di jalanan yang kebiasaannya mereka akan dipukul dan ditembak oleh polis upahan kapitalis yang digelar sebagai Pinkerton Guards.
Kemuncak konflik antara pihak kapitalis dan para pekerja ialah pada Peristiwa Haymarket (Haymarket Affair) yang telah berlaku pada 3-4 Mei 1886. Semasa para pekerja berarak di Haymarket Square Chicago untuk menuntut tempoh masa bekerja selama 8 jam sehari, golongan anarkis telah meletupkan bom dan mengorbankan beberapa anggota polis serta orang awam pada masa itu.

Berikutan daripada peristiwa tersebut, ramai pemimpin kesatuan pekerja yang telah ditangkap dan dihukum bunuh.
Untuk pengetahuan anda, bukan hanya buruh-buruh di lombong, kilang dan estet sahaja yang tubuhkan union, malah pelakon-pelakon filem dan pekerja-pekerja belakang tabir juga turut bersatu di bawah sebuah union iaitu Malayan Artistes’ Union yang juga dikenali sebagai Persatuan Artis Malaya (PERSAMA) yang ditubuhkan pada tahun 1954.
Pada 16 Mac 1957, 120 orang pelakon, penolong pengarah, juruteknik, penulis lagu dan pekerja-pekerja filem yang bersatu di bawah union telah melancarkan mogok sebagai tanda solidariti dan bantahan terhadap pemecatan lima orang pekerja filem dan aktivis union oleh syarikat milik Shaw Brothers.

Mogok yang berlanjutan sehingga 7 April 1957 ini akhirnya berjaya dengan tuntutan mereka. Lima orang pekerja yang dipecat telah digaji semula. Presiden union pada masa itu yang turut sama terlibat dalam mogok tersebut ialah seorang pelakon dan pengarah filem bernama P. Ramlee.

Pada tahun 1888, Pihak Persatuan Buruh Amerika (American Federation of Labour) telah memilih tarikh 1 Mei sebagai memperingati Peristiwa Haymarket. Pekerja kilang hanya akan bekerja selama 8 jam sahaja pada hari tersebut sebagai tanda protes.
Gabungan Sosialis Sedunia (Second International) telah menyambut tindakan tersebut dan pada tahun 1889, tarikh 1 Mei telah ditetapkan sebagai Hari Pekerja Antarabangsa (International Workers Day).
Sambutan Hari Pekerja di Malaysia juga ada kaitan dengan paradigma dalam pemikiran pemimpin. Hari Pekerja tidak diiktiraf sehinggalah pada 20 Mei 1972, Tun Dr. Ismail telah mengumumkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan sebagai cuti umum.
Sebelum itu, idea sambutan Hari Pekerja telah ditentang dengan hebat kerana kerajaan mengamalkan sistem ekonomi laissez faire dan dikhuatiri 1 Mei akan menjadi tunggangan oleh pihak golongan kiri iaitu sosialis dan komunis.
Pengumuman Tun Dr. Ismail dibuat kerana pemikiran Tun Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu berbeza dengan elit lama di era Tunku Abdul Rahman. Semasa Tun Razak belajar di London, beliau telah menghadiri sebuah kuliah Harold Laski di London School of Economics dan telah menyertai Persatuan Fabian (Fabian Society) dan juga Parti Buruh (Labour Party).

Pengalaman Tun Razak sedikit sebanyak telah mendedahkan dia kepada idea-idea sosialisme. Walaupun dia bukan seorang sosialis, namun idea sosialisme tentang keadilan sosial, kesamarataan dan hak buruh telah melekat pada dirinya dan mempengaruhi hala tuju corak pemerintahannya. Maka tidak hairanlah kalau dia lebih akomodatif dengan tuntutan sambutan Hari Pekerja yang sering dikaitkan dengan gerakan kiri.
Lihat, betapa gigihnya perjuangan golongan buruh terdahulu untuk memperjuangkan hak mereka bukan? Justeru itu, anda juga harus tahu hak anda sebagai pekerja dan dalam krisis pandemik COVID-19 ini, anda harus pastikan hak-hak anda masih lagi dijaga.