Setiap kali tiba tanggal 1 April, pasti ramai di antara kita yang menjadi mangsa April Fool. Meskipun ia sebenarnya berasal dari Eropah, Hari April Fool turut diraikan di seluruh pelosok dunia termasuklah Malaysia. Apabila tibanya 1 April, masing-masing akan kenakan keluarga dan rakan-rakan dengan perkara yang kelakar atau memalukan. Dalam erti kata lain, begitulah Hari April Fool ini diraikan.
Persoalannya, apakah kisah di sebalik tarikh 1 April ini? Mengapakah tarikh ini diraikan sebagai Hari April Fool?

Sebenarnya, terdapat banyak kisah yang menceritakan tentang asal usul Hari April Fool. Salah satu kisah paling popular mengenai sejarah Hari April Fool ini adalah apa yang berlaku pada tahun 1582.

Ketika itu, Pope Gregory XIII yang merupakan ketua Gereja Katolik dan penguasa negeri Paus telah memerintahkan kalendar baharu (Gregorian) bagi menggantikan kalendar lama (Julian). Jika sebelum ini kalendar Julian bermula dengan 1 April, lain pula bagi kalendar Gregorian di mana ia bermula dengan tarikh 1 Januari. Ini sekali gus membuatkan Tahun Baharu diraikan pada 1 Januari dan bukan lagi 1 April.
Perancis menjadi negara pertama yang menerima dan menggunakan kalendar Gregorian sebagai kalendar tahunan. Namun begitu, perubahan ini tidak diterima baik oleh kesemua negara di Eropah ketika itu. Malah, ada juga beberapa negara yang langsung tidak tahu tentang perubahan ini.
Oleh sebab itu, negara-negara yang tidak tahu tentang kewujudan kalendar baharu itu atau mereka yang enggan menggunakannya terus menyambut Tahun Baharu pada 1 April. Keadaan ini sekali gus membuatkan negara-negara lain menggelarkan mereka sebagai bodoh.

Setiap kali tibanya 1 April, mereka yang menyambut Tahun Baharu akan ditertawakan dan dimain-mainkan dengan pelbagai cara. Salah satu daripadanya adalah ikan kertas yang dikenali sebagai Poisson d’Avril akan disangkut pada bahagian belakang mereka. Ia sebagai simbolik bahawa orang-orang ini adalah bodoh dan mudah tertipu seperti ikan yang ditangkap.
Sehingga ke hari ini, tradisi tersebut masih dilakukan di beberapa buah negara termasuklah Perancis, Belgium dan kawasan Switzerland serta Kanada yang bertutur dalam bahasa Perancis.
Jadi, inilah salah satu kisah di sebalik sambutan Hari April Fool. Kongsikan pula asal usul Hari April Fool yang anda tahu di ruangan komen di bawah.
Sumber: Iluminasi