Diplomasi Buli Dari China, Merimaskan Negara Serantau

Di mana-mana di seluruh dunia kini mulai bimbang dengan kebangkitan China serta sikap autoritarian yang bakal menggugat demokrasi di seluruh dunia.

Isu pembantaian massa di wilayah Uighur yang mulai hangat diperkatakan, terutamanya dari kalangan negara-negara Islam, mula dimainkan oleh media Barat dan menekan dasar kerajaan komunis China.

Walaupun kerajaan China menafikan tindakan mereka itu kejam ke atas umat Islam terutamanya rakyat yang berbangsa Uighur, dan hanya bertindak ke atas mereka yang menyertai kumpulan pengganas seperti DAESH, namun jawapan tersebut tidak diterima oleh ramai orang, terutamanya yang beragama Islam.

Tetapi sentimen anti-China ini bukan hanya berputik dari keganasan di Uighur, mahupun tindakan ganas pihak polis di Hong Kong sepanjang tahun ini, atau sepuluh tahun yang lalu ketika demonstrasi memprotes keganasan di Tibet, ia adalah manifestasi kebencian terhadap rejim komunis China, bukan sahaja di negara sekitarnya, ditambah pula dengan propaganda Barat yang tidak mahu negara ini menjadi kuasa besar.

CHINA MENGEPUNG, ATAU DIKEPUNG?

Untuk memahami mengapa Beijing bertindak agresif di Uighur, Tibet, dan di kawasan Kepulauan Spartly di perairan Laut China Selatan, kita perlu melihat peta dunia untuk memahami mentaliti pemerintah China.

Ini adalah peta “Nine Dash Line” yang mendakwa bahawa Beijing memiliki perairan ini berdasarkan sejarah China yang lampau. Ini termasuk perairan yang berhampiran dengan Sarawak. Kepulauan Spartly terletak di tengah-tengah laluan kapal Timur dan Barat. Selain itu, kawasan ini juga mempunyai petroleum, gas asli serta perikanan yang cukup banyak.

Selain China, negara-negara lain yang menuntut kepulauan ini ialah Brunei, Filipina, Malaysia, Vietnam dan Taiwan.

Selain itu, di sebelah Laut China Timur pula, China dan Jepun bersaing dalam perebutan pulau Senkaku/Diaoyu, serta kawasan yang berhampiran dengannya.

Di bahagian Himalaya pula, persaingan antara China dan India ditambah pula dengan faktor konflik Kashmir di antara India dan Pakistan cukup memeningkan.

Antara faktor mengapa China menganggap wilayah Tibet penting, ialah kerana kebanyakan sungai seperti Sungai Huang He dan Yangtze, dua sungai terpenting di negara itu, yang membekalkan air kepada hampir 700 juta penduduk negara ini, terletak di Banjaran Himalaya, di wilayah Tibet.

Tibet yang merdeka bermakna Tibet yang pro-India kerana hubungan rapat serta pensejarahan antara wilayah tersebut dan India. Bahkan budaya orang Tibet lebih rapat dengan wilayah utara India berbanding dengan budaya orang Han di China.

Apabila Presiden China, Xi Jinping mengumumkan dasar Belt and Road, serta mahu menghidupkan semula Jalan Sutera, ini kerana Beijing mahu konsumer yang baru untuk produk barangan mereka.

Satu dasar yang diamalkan oleh China ialah menghasilkan produk yang banyak dan murah bagi memastikan rakyatnya yang berjumlah 1.4 billion mempunyai pekerjaan. Jika China tidak mengamalkan sistem ini, sekurang-kurangnya 700-900 juta warganya akan tiada kerja, dan akan mengakibatkan kehancuran negara tersebut.

Dalam melihat Nine Line Dash, String of Pearls yang mengepung India, serta keganasan mereka di Tibet dan Uighur memperlihatkan dasar keras Beijing mengepung, tetapi sebenarnya China yang terkepung.

Dan semua ini diperlukan dalam memastikan survival Parti Komunis China terus kekal, serta dapat mengamankan rakyatnya.

Menurut pakar geopolitik dan CEO syarikat penasihat strategik Stratfor, George Friedman, ekonomi China yang tidak seimbang dan hanya menjadi hub industri untuk pasaran Barat menjadikan China terlalu bergantung dengan Barat, terutamanya Amerika Syarikat.

Bahkan kebangkitan ekonomi China juga, menurut Friedman – adalah kerana tentera laut Amerika Syarikat yang menjaga Lautan Pasifik.

Selain itu, menurut seorang lagi pakar geopolitik, Peter Zeihan berkata, ketidakseimbangan ekonomi dalam China, terutamanya masalah jurang kekayaan antara kaya dan miskin, masalah demografi akibat dasar Satu Anak Satu Keluarga, serta dasar kerajaan Beijing yang terus mencetak wang yuan secara berlebihan untuk pasaran tempatan dan menggerakkan ekonomi dalam negeri akan mengakibatkan ekonomi tidak boleh bertahan lama.

Taktik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam Perang Dagang (trade war) dengan Beijing yang agresif, ialah bertindak serampang dua mata. Yang pertama ialah untuk memastikan penyokong tegarnya serta pengundi parti Republikan agar kekal setia dengannya, dan yang kedua ialah untuk memastikan negara sekutu seperti Jepun, Korea Selatan dan India terus mengepung China (containment).

Tetapi dalam persaingan kuasa-kuasa serantau seperti Jepun dan India, serta persaingan antarabangsa dengan Amerika Syarikat, menyebabkan China mula bertindak agresif dengan memastikan keselamatan dalam negeri dapat dikekalkan.

Hong Kong dan Uighur adalah satu serangan perang saraf oleh media Barat terhadap China, tetapi sebenarnya dari perspektif dalaman negara itu pun, dengan kedudukan yuan yang semakin melemah, China kini dalam fasa “meminjam masa” dalam situasi ekonomi sekarang.

Kadar pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan serta konflik dalaman akan merencatkan agenda Xi Jinping untuk memastikan rancangannya menjadikan China kembali menjadi kuasa dunia. Ditambah pula ketiadaan rakan sekutu, China perlu “menabur wang” untuk memastikan kekuatannya dapat dikekalkan.

Kerana itu projek Belt and Road Initiative digerakkan dalam usaha menjadikan China terus kekal sebagai kuasa dunia, namun dengan dasar debt-trapped diplomacy seperti yang berlaku di Sri Lanka, Pakistan dan Djibouti, menyebabkan banyak negara mula sangsi dengan niat Beijing.