Pulau Tioman merupakan salah satu pulau yang terkenal di Malaysia. Kedudukannya terletak di tengah Laut China Selatan antara Semenanjung Malaysia dengan Pulau Borneo. Pulau Tioman terletak di bawah naungan negeri Pahang iaitu di daerah Rompin. Pulau ini dikenali dengan keindahan flora dan fauna yang terdapat di dalam hutan dan lautan pulau ini.

Kerana keindahan lautan serta kepelbagaian flora dan fauna, ia menyebabkan pulau ini pernah dinobatkan sebagai antara pulau tercantik di dunia pada satu ketika dahulu.
Pulau Tioman juga pernah menjadi tempat pengambaran sebuah filem dari Hollywood yang bertajuk South Pacific. Tioman diumumkan sebagai pulau bebas cukai oleh mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2003.
Menurut kisah dongeng yang dipercayai penduduk tempatan, Pulau Tioman berasal daripada sepasang naga. Pada zaman dahulu kala, dikatakan sepasang naga suami isteri (naga jantan dan naga betina) meninggalkan Tasik Chini untuk ke laut melalui Sungai Pahang. Dalam perjalanan, selendang naga betina terjatuh, lalu naga jantan berpatah balik untuk mencarinya. Malangnya, waktu itu ayam telah berkokok. Naga ini pantang mendengar ayam berkokok. Oleh sebab itu, naga betina bertukar menjadi sebuah pulau. Sementara naga jantan bertukar menjadi Gunung Nenek Semukut iaitu sebuah gunung yang terdapat di Pulau Tioman.
Nama Tioman dikatakan diambil sempena nama seekor burung iaitu burung tiong. Kisahnya bemula apabila sekumpulan pedagang yang datang ke Pulau Tioman dan mereka ternampak seekor burung tiong yang jinak di bawah jagaan penduduk kampung tersebut. Kemudian salah seorang daripada mereka bertanya kepada seorang penduduk di situ.
“Siapakah yang empunya burung ini?” lalu penduduk yang bernama Man itu menjawab “itu burung tiong man, tuan”. Bahasa orang pulau ‘man’ itu ertinya ‘saya’. Lalu pedagang itu pun bertanya lagi apakah nama pulau ini, Man pun berkata bahawa pulau ini tiada nama. Sejurus itu, para pedagang tersebut memberi nama pulau ini sebagai Pulau Tioman. Hasil gabungan Tiong dan juga Man.
Pada waktu dahulu, Tioman merupakan salah satu kawasan perdagangan yang wujud ketika itu. Perkara ini kerana kedudukannya yang strategik membolehkan pedagang untuk berhenti rehat. Ia termasuk dalam sejarah kerajaan maritim yang mengamalkan aktiviti berdagang. Mereka juga mempromosi makanan hasil tanaman sendiri seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Hari ini, Pulau Tioman sudah menjadi sebuah pulau yang kerap dikunjungi pelancong. Ia juga merupakan salah satu aset penting bagi negeri Pahang Darul Makmur. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di pulau ini seperti scuba diving, snorkeling, camping dan sebagainya. Sudah pasti ia dapat memenuhi keinginan pengunjung untuk menikmati keindahan alam. Pulau ini juga mempunyai kemudahan seperti sekolah, klinik, masjid, balai polis dan sebagainya untuk menampung keperluan penduduk di sini.