Sejarah Telaga Neraka
Telaga Neraka atau nama sebenarnya Telaga Barhout merupakan salah satu keajaiban semula jadi yang ada di Yaman. Ia terletak di padang pasir wilayah Al-Mahra. Telaga atau lubang benam ini mempunyai lebar 30 meter dan kedalamannya dikatakan sekitar 100 hingga 250 meter.

Telaga tersebut diberikan nama gelaran sebagai Telaga Neraka kerana didakwa oleh orang tempatan sebagai telaga yang dihuni oleh makhlus halus seperti jin.
Antara naratif yang biasa dikatakan mengenai telaga tersebut ialah telaga ini mampu menelan sesiapa sahaja yang menghampiri dan juga merupakan rumah kepada para jin. Sebelum ini, masih lagi belum ada pengkaji yang sampai ke dasar telaga ini.
Ada yang mencuba tetapi harus naik kembali disebabkan kekurangan oksigen di dasar dan bau pelik yang kuat.
Penerokaan OCET
Hal ini kekal begitu sehinggalah sekumpulan penjelajah gua daripada negara jiran, Oman, memutuskan untuk menjelajah telaga ini bagi membongkarkan misteri tersebut.
Pada 15 September 2021, dengan berbekalkan peralatan bersistem takal, kumpulan penjelajah daripada Omani Caves Exploration (OCET) mula turun ke dasar telaga ini. Lapan orang turun ke bawah, manakala dua lagi tunggu di tebing sebagai pemantau.

Di dasar, mereka tidak menemukan sebarang jin atau makhluk halus. Apa yang ditemui mereka ialah beberapa ular di sekitar permukaan tidak rata dan bertimbul-timbulan. Terdapat satu timbulan batu setinggi sembilan meter ditemui.
Kata mereka, timbulan ini terhasil akibat daripada titisan dan tumpahan air selama ratusan ribu tahun. OCET turut mendapati telaga ini ada air terjun yang bersiraman daripada permukaan batu.

Disebabkan ada air, maka terdapat juga hidupan lain yang ada di situ seperti katak dan kumbang. Malah bangkai burung juga ditemui. Mungkin bau busuk yang dikatakan adalah datang daripada bangkai-bangkai tersebut.
Pasukan OCET ini kemudiannya mengambil sampel air, batu dan tanah serta bangkai burung tersebut untuk tujuan penyelidikan. Keputusan penyelidikan ini akan dikeluarkan oleh mereka untuk bacaan ramai nanti. Apabila keputusan itu keluar, mungkin boleh dikaitkan dengan hadis Nabi yang ada mengatakan tentang air di sana:
“Dan seburuk-buruk air di atas muka bumi ialah air pada lembah Barhut berdekatan Hadhramaut (Yaman).”

Apa pendapat anda mengenai penerokaan ini?
Adakah anda berasa hampa kerana mereka tidak menemukan sebarang jin?
Ataupun mungkin anda mungkin masih mempunyai spekulasi tersendiri seperti jin tersebut menyamar dalam bentuk-bentuk ular dan binatang?
Pada pendapat penulis, agama memang adalah suatu wadah yang benar namun kata-kata manusia kadangkala boleh memintalkan unsur agama hingga terjerumus ke lembah kesesatan. Oleh itu, selain daripada hanya percaya secara membuta tuli, kita boleh mengambil langkah untuk sentiasa menyiasat sendiri daripada terus membiarkan sesuatu hal itu menyesatkan kita.
Untuk membaca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: