Didakwa ‘Berlakon’ Jadi Jenama Jepun, Miniso Tampil Mohon Maaf

Syarikat peruncit terkenal Miniso baru-baru ini membuat permohonan maaf kerana memasarkan jenamanya sebagai kedai konsep gaya hidup dari Jepun ketika dalam fasa permulaan untuk berkembang secara global sedangkan mereka sebenarnya berpangkalan di China.

Menerusi satu kenyataan di aplikasi Weibo pada 18 Ogos lalu, pihak Miniso berkata mereka akan membuang ‘identiti Jepun’ daripada kedai-kedainya secara berperingkat menjelang Mac 2023.

Sumber: Nikkei Asia

Dalam kenyataan yang sama, pihak Miniso menjelaskan bahawa mereka telah merekrut pereka dari Jepun sebagai ketua pereka grafik dari tahun 2015 hingga 2018 ketika syarikat itu masih dalam fasa permulaan untuk berkembang secara global.

Sejak dari itu, Miniso telah mempromosikan jenama mereka sebagai Japanese designer brand. Walau bagaimanapun, pihak Miniso membuat keputusan untuk memohon maaf dan berjanji akan membuang identiti Jepun dalam semua produk mereka.

Sebelum ini, Miniso menerima kecaman hebat daripada warganet di China kerana hantaran yang dimuat naik oleh akaun Instagram cawangan syarikat itu di Sepanyol.

Sumber: Global Times

Akaun Instagram cawangan Sepanyol itu telah membuat kesilapan dengan melabelkan salah satu anak patung yang memakai pakaian tradisional Cina iaitu qipao dalam gambar tersebut sebagai anak patung geisha dari Jepun. Miniso juga telah membuat permohonan maaf di atas kekeliruan yang dicetuskan unit mereka di Sepanyol.

Pihak Miniso akan menggabungkan budaya dan identiti China dalam produk mereka di masa akan datang. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: