Golongan ibu mahupun suri rumah menganggap ‘tupperware’ sebagai barang paling bernilai selain daripada emas atau pinggan mangkuk yang tersusun cantik di dalam kabinet rumah.
Ini adalah kerana produk isi rumah yang diperbuat daripada bekas plastik ini sering dijual dengan harga yang sangat mahal. Ini dapat dilihat apabila terdapat botol minuman biasa dijual dengan harga yang mencecah RM50. Satu set bekas makananan juga mampu mencecah sehingga ratusan ringgit.
Persoalannya siapakah yang mencipta tupperware ini?

Pada tahun 1946, Earl Tupper yang berasal dari Amerika Syarikat bertanggungjawab mencipta Tupperware ini yang bertujuan untuk menyimpan makanan dengan fungsi kedap udara.
Salah satu keistimewaan produk Tupperware adalah burping seal yang berfungsi untuk mencegah udara luar daripada memasuki ke dalam bekas makanan dan fungsi ini telah menjadikan produk mereka lain daripada yang lain.
Tupper yang mencipta bekas kedap udara atau air ini mengaku mengambil ilham daripada penutup cat. Inovasi ini kemudiannya diaplikasikan dalam reka bentuk Tupperware sebelum menjadi salah satu reka bentuk ikonik Tupperware.
Manakala plastik yang membentuk tupperware adalah bioplastik, yang merupakan hasil campuran dari sayur-sayuran dan buah-buahan yang telah diuji dan ia selamat untuk alam sekitar dan makanan.
Penjualan Tupperware menerapkan strategi pintu ke pintu dengan istilah Tupperware Party. Strategi ini dibuat secara langsung oleh Brownie Wise, naib presiden dan juga individu penting yang berjaya menaikkan jenama Tupperware.
Malangnya, Brownie dipecat kerana popularitinya melebihi Tupper. Tupperware kemudiannya dijual kepada Rexall Drug pada tahun 1958.
Strategi penjualan mereka yang seterusnya adalah dengan meletakkan wanita di pusat jualan pintu ke pintu. Ini juga banyak membantu para wanita zaman tersebut, terutamanya semasa Perang Dunia Ke-II, untuk memperoleh pendapatan sendiri.
Pada tahun 1956, Tupperware dimasukkan dalam senarai penemuan terbaik Guinness Book of World Record abad ke-20, berkat dari inovasi penutup kedap udara dan kedap air.

Rakyat Malaysia kemudiannya diperkenalkan dengan Tupperware pada tahun 1964. Walaupun produknya berada dalam lingkungan harga yang tinggi, kaum wanita akan berusaha untuk membelinya. Mereka bukan membeli Tupperware hanya untuk digunakan, tetapi ia juga adalah simbol gaya hidup kelas menengah.
Jadi adakah anda atau ahli keluarga anda gemar mengumpul Tupperware? Kongsikan pendapat atau pengalaman anda di ruangan komen di bawah.