Black Friday merupakan satu hari yang cukup dinantikan oleh orang ramai pada masa kini kerana ia sangat sinonim dengan pesta beli-belah. Namun, tahukah anda sejarah sebenar di sebalik Black Friday?
Kami akan kongsikan kisah sebenar Black Friday menerusi artikel ini:
Asal usul Black Friday

Black Friday pertama kali digunakan ketika kejatuhan pasaran emas Amerika Syarikat pada 24 September 1869. Pada waktu tersebut, dua orang pelabur iaitu Jay Gould dan Jim Fisk telah bekerjasama untuk membeli sebanyak mungkin emas supaya harga logam itu akan naik setinggi mungkin. Dengan cara itu, mereka boleh memperoleh keuntungan yang luar biasa daripada jualan emas.
Konspirasi yang berlaku pada hari Jumaat itu telah menyebabkan ramai pelabur di Wall Street muflis kerana pasaran saham jatuh bebas.
Kisah sebenar Black Friday

Pada tahun 1950-an, polis di Philadelphia telah menggunakan istilah tersebut untuk menggambarkan kekacauan yang berlaku pada hari selepas Thanksgiving.
Untuk pengetahuan anda, sekumpulan peminat sukan dan pelancong pinggir bandar akan membanjiri kota sebelum pertandingan bola sepak Amerika antara Angkatan Darat serta Tentera Laut yang diadakan pada hari Sabtu setiap tahun.
Bukan sahaja tidak dapat mengambil cuti, anggota polis di sana juga terpaksa bekerja lebih masa untuk mengawal kesesakan orang ramai dan menjaga lalu lintas.
Tidak berhenti di situ, pihak polis juga perlu menangani peningkatan kes kecurian kerana ramai penjenayah mula mengambil kesempatan pada waktu ini.
Untuk hapuskan tanggapan negatif terhadap Black Friday yang telah tersebar luas di Philadelphia menjelang tahun 1961, para peniaga dan penduduk tempatan telah berusaha mengubah perkataan tersebut ke Big Friday tetapi usaha itu tidak membuahkan hasil.
Black Friday kini jadi pesta jualan murah

Walau bagaimanapun, para peniaga akhirnya menemui satu cara untuk mengubah persepsi negatif orang ramai tentang Black Friday kepada sesuatu yang positif pada akhir tahun 1980-an.
Kebiasaannya, peniaga akan memperoleh keuntungan (tulisan jadi hitam) pada hari selepas Thanksgiving setelah beroperasi dengan kerugian (biasa ditulis dengan warna merah) sepanjang tahun tersebut.
Walau bagaimanapun, pembeli yang masih dalam mood bercuti selepas Thanksgiving akan habiskan sejumlah wang untuk beli hadiah dan barangan pada harga lebih murah.
Jadi, konsep merah ke hitam seperti yang dinyatakan di atas telah digunakan untuk merujuk pada pesta membeli-belah sempena musim cuti dan ia nampaknya berjaya lenyapkan kisah gelap di Philadelphia.
Bermula dari situ, pesta jualan murah satu hari berkenaan berubah menjadi acara empat hari. Kedai akan dibuka awal pada hari Jumaat. Para pembeli pun boleh keluar awal untuk beratur di hadapan kedai selepas menjamu selera bersama seluruh keluarga pada hari Thanksgiving.
Apa pendapat anda berkenaan Black Friday?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: