Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) mendakwa bahawa kit ujian pantas COVID-19 tidak berkesan untuk mengesan Omicron dan lebih berkemungkinan memberikan keputusan negatif palsu terhadap varian Omicron. Pakar dari negara tersebut melaporkan majoriti jangkitan varian itu tidak mampu dikesan melalui ujian saringan kendiri.
Menurut FDA, mereka telah bekerjasama dengan Institut Kesihatan Nasional (NIH) untuk mengkaji prestasi ujian saringan kendiri, juga dikenali sebagai ujian antigen terhadap beberapa sampel pesakit yang dijangkiti varian Omicron.
“Data awal menunjukkan ujian antigen memang mengesan varian Omicron, namun mungkin sensitivitinya sudah berkurangan,” lapor agensi tersebut.
Untuk pengetahuan anda, sensitiviti di sini merupakan ukuran sejauh mana kemampuan ujian tersebut untuk mengesan jangkitan varian yang positif.

Dalam satu ujian sebelumnya, mereka menumpukan ujian antigen ini kepada sampel virus yang dinyah aktif menggunakan haba. Yang mana menunjukkan keputusan yang lemah berbanding ujian yang dilakukan terhadap virus hidup.
Dengan kata lain, ujian antigen masih mampu mengesan Omicron tetapi hanya apabila dijalankan terhadap virus yang hidup. Bermaksud, sensitivitinya dalam mengesan Omicron adalah rendah jika dibandingkan dengan ujian lain seperti ujian molekul PCR.
Ujian molekul PCR, walaupun mengambil masa yang agak lama, berupaya memberikan keputusan yang lebih tepat kerana ia mampu mengesan bahan genetik virus tersebut dan boleh membuat berjuta-juta salinan virus RNA biarpun jumlah yang dapat dikesan adalah kecil.
Namun begitu, FDA masih lagi membenarkan penggunaan ujian saringan rumah ini, yang mana berfungsi untuk mengesan protein permukaan COVID-19 . Sesetengah kit ujian kendiri ini juga, menyuruh penggunanya membuat ujian dua kali dalam jarak masa tertentu bagi mengesahkan dengan lebih tepat keputusan negatif.
Daripada kenyataan mereka, penulis berpendapat bahawa kalau anda mempunyai simptom COVID-19 namun kit ujian kendiri anda menunjukkan keputusan negatif, seeloknya anda segera pergi bertemu pakar untuk membuat ujian yang lebih berkesan.
Kerana ada kemungkinan bahawa kit ujian tersebut tidaklah tepat seperti yang kita sangka.
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: