Cipta Tandas Dalam Poket, Syarikat Jepun Ini Hasilkan Tandas Mudah Alih Terkecil Di Dunia

Sebuah syarikat Jepun mencipta tandas paling kecil di dunia yang boleh dibawa ke mana-mana, malah boleh disimpan di dalam poket seluar.

Menurut pengasas syarikat Kokenawa Inc., Yoshinori Kokenawa, dia mendapat idea menghasilkan produk dinamakan Pocketoilet itu pada 2019 ketika menjadi sukarelawan di bandar Nagano yang terjejas akibat Taufan Hagibis.

Perkara utama yang disedarinya apabila orang ramai ketika itu menghadapi masalah untuk menggunakan tandas kerana perlu beratur panjang.

“Meskipun berjalan dengan pantas untuk sampai ke tandas, orang ramai terpaksa beratur sehingga 30 minit atau lebih lama untuk menggunakan tandas. Jadi, saya mahu lakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Pada Disember 2020, syarikat Kokenawa telah melancarkan Pocketoilet yang boleh disimpan dalam poket seluar dengan saiz sepanjang 7 sentimeter (sm) dan lebar 6.5 sm sahaja.

Tandas mudah alih ini terdiri daripada beg yang diperbuat daripada gentian khas, tahan lama dan satu paket bahan pembeku.

Beg tersebut boleh dipasang pada mangkuk tandas atau tong sampah untuk digunakan.

Beberapa ujian yang dijalankan mendapati bahawa hampir tiada bau yang dihasilkan oleh beg tersebut apabila ia dibiarkan di dalam tempat tertutup selama seminggu dengan keadaan berisi najis.

“Ia juga boleh disimpan di dalam beg tangan wanita, jadi kami berharap pembeli boleh membawanya walau ke mana-mana sahaja,” jelas Kokenawa.

Setakat ini, kira-kira 50,000 Pocketoilet telah dijual manakala sebanyak 6,000 unit disumbangkan kepada mangsa-mangsa perang di Ukraine. 

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: