Tahukah anda bahawa pencipta Universal Serial Bus (USB) yang digunakan oleh orang ramai untuk menyimpan sesuatu dokumen penting atau membuat sebarang pemindahan data pada masa kini ialah seorang rakyat Malaysia? Kami akan kongsikan kisah Pua Khein-Seng menerusi artikel ini:
Pua Khein-Seng

Dilahirkan di Sekinchan dekat Selangor, Khein-Seng yang turut dikenali sebagai K.S. Pua ini sebenarnya berasal daripada sebuah keluarga sederhana.
Pada usia 19 tahun, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik dan kawalan di Chiao Tung University, Taiwan. Disebabkan beliau bukan berasal daripada sebuah keluarga berada, kewangan Khein-Seng sepanjang tiga tahun melanjutkan pengajian di sana juga tidak stabil. Beliau terpaksa membuat kerja sambilan untuk menampung kos pengajian.
Namun, apa yang paling menarik ialah Khein-Seng dan empat orang rakan kongsinya berjaya menghasilkan pemacu pena pertama di dunia dengan teknologi sistem atas cip pada tahun 2001.
Dalam erti kata lain, Khein-Seng tampil dengan idea mencipta sebuah pemacu pena menggunakan teknologi single-chip controller flash controller.
Rekaan ini juga lebih maju daripada reka bentuk multi-cip yang lebih rumit sebelum ini dan ia turut mempunyai kapasiti yang lebih besar berbanding peranti terdahulu.
Khein-Seng mahu buka syarikat sendiri tetapi tidak ada dana cukup

Kejayaan tidak datang bergolek kepada Khein-Seng. Permulaan baharu Khein-Seng selepas meninggalkan syarikat lama beliau agak suram selepas para pelabur hanya menawarkan NT$1 juta (RM144,126) sedangkan mereka menjanjikan NT$30 juta (RM4,327,000) sebelum ini.
Untuk pengetahuan anda, para pemegang saham pada masa itu masih lagi ragu-ragu dengan syarikat start-up. Jadi, mereka tidak mahu memberikan bantuan kewangan yang sangat diperlukan oleh Khein-Seng dan rakan-rakannya.
Atas sebab itu, Khein-Seng dan empat orang rakannya berusaha sedaya upaya untuk kumpul dana sebanyak NT$6 juta (RM863,385) daripada pelbagai sumber seperti rakan-rakan, saudara mara dan simpanan peribadi masing-masing.
Selepas berjaya mengumpul dana untuk penubuhan syarikat, mereka akhirnya berjaya menubuhkan Phison Electronics pada November 2000. Namun, apa yang membuatkan syarikat ini mula dikenali ramai selepas mereka menghasilkan pembaca kad lima dalam satu.
Dengan bantuan kerjasama daripada rakan niaga, mereka berupaya memasuki pasaran Eropah dan Amerika Syarikat di samping berjaya mendapatkan Toshiba sebagai pemegang saham syarikat terbesar. Menarik bukan?
Pada pendapat anda, apakah yang akan berlaku sekiranya Khein-Seng tidak pernah tampil dengan idea mencipta pemacu pena pada suatu ketika dahulu?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: