China Hantar Pakar Perubatan Ke Korea Utara, Status Kim Jong Un Masih Dalam Teka-Teki

Menurut laporan, China telah menghantar satu pasukan termasuk beberapa pakar perubatan ke Korea Utara yang didakwa untuk menasihati pemimpin, Kim Jong Un.

Menurut Reuters, pasukan tersebut diketuai seorang pegawai kanan di Jabatan Perhubungan Antarabangsa kerajaan China yang telah bertolak pada hari Khamis yang lalu.

Jabatan itu dikatakan merupakan agensi utama dalam pentadbiran Beijing yang ditugaskan menangani urusan dengan Korea Utara.

Walau bagaimanapun, pihak Reuters tidak mengesahkan sama ada pasukan tersebut dihantar berkaitan dengan tahap kesihatan Kim Jong Un.

Sebelum ini, agensi berita di Amerika Syarikat CNN telah mendakwa Kim Jong Un berada dalam keadaan kritikal susulan menjalani pembedahan.

Pada masa yang sama, portal berita di Seoul, Korea Selatan pula pada awal minggu ini telah melaporkan Jong Un sedang pulih selepas menjalani prosedur rawatan untuk kardiovaskular pada 12 April.

Namun begitu, beberapa pegawai kerajaan Korea Selatan melaporkan pihaknya tidak mengesan apa-apa perkara yang mencurigakan di negara jirannya itu.

Malah, pada Khamis lalu Presiden Donald Trump juga menafikan laporan berhubung keadaan kritikal Jong Un dengan mengatakan laporan itu tidak benar.

Dikatakan, pemimpin Korea Utara itu dilihat untuk kali terakhir di hadapan media rasmi pada 11 April.

Apa yang membuatkan tercetusnya khabar angin mengenai kesihatannya adalah apabila beliau dilaporkan tidak hadir pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran datuknya, Kim Il Sung pada 15 April.

Selama ini majlis itu disambut dengan meriah pada setiap tahun bagi memperingati pengasas negara itu.

Ianya menjadi teka-teki apabila pihak media Korea Utara tidak memberikan sebarang respons tentang spekulasi kesihatan Kim Jong Un.

Ini membuatkan semua pihak di seluruh negara tertanya-tanya sama ada Kim Jong Un masih hidup atau tidak?

Sumber: