Cara Untuk Kekal Bahagia Pada Masa Yang Sukar

Kepada sesiapa yang tidak tahu lagi, Hari Kebahagiaan Sedunia jatuh pada 20 Mac yang dirasmikan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2013 bagi menitikberatkan kepentingan rasa bahagia dalam kehidupan seharian.

Ia juga untuk menggariskan komitmen pada 193 buah negara di bawah naungan PBB untuk kebahagiaan dan kesejahteraan dalam pembangunan dengan tujuan dasar awam.

Berhubung dengan pandemik yang sedang berlaku, tema Hari Kebahagiaan Sedunia buat tahun ini adalah ‘Bertenang, kekal bijak, berbuat baik’.

Menurut pakar psikologi dari Universiti Taylor Dr. Anasusya Jegathevi Jegathesan, terdapat banyak formula untuk rasa bahagia dalam setiap individu.

Berikut kami kongsikan cara-cara untuk kekal bahagia:

1. Kenalpasti apa yang membuatkan anda bahagia

Sumber: The Star

“Kebahagiaan tidaklah sama kepada setiap individu. Lain orang lain caranya untuk mencari kebahagiaan jadi kita tidak berhak untuk menghukum sesiapa dalam membuat apa jua perkara yang mereka rasa bahagia.” katanya.

Kebahagiaan boleh datang daripada dalaman dan kadangkala daripada persahabatan, keluarga, cinta. Boleh dikatakan orang di sekeliling anda boleh menentukan kadar kebahagiaan anda.

Tidak mustahil untuk rasa bahagia walaupun sedang berada dalam keadaan sukar, menurut Dr. Anasusya.

“Kita pernah nampak atau mendengar tentang orang mencari kebahagiaan pada masa pahit getir seperti kanak-kanak dalam kawasan peperangan bermain sesama sendiri, kisah tentang Perang Dunia Kedua di mana beberapa orang berhenti dalam satu tempat untuk menyanyikan lagu-lagu Krismas dan banyak lagi.”

“Semangat dalam diri setiap manusia mampu mencari saat-saat kebahagiaan dalam penderitaan.” tambah beliau lagi.

Malah, ada beberapa orang juga mampu menyelam diri mereka sendiri bagi mencari asas kebahagiaan di mana tiada apa yang mampu menggoyahkannya.

2. Bina kebahagiaan atau keamanan sendiri

Sumber: The Star

Ia tidak mustahil untuk seseorang itu membina kegembiraan sendiri.

Dr. Anasusya berkongsikan pengalamannya di waktu PKP di mana beliau dapat rasa bahagia dengan kejayaannya menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram menerusi bersenam dan makan makanan berkhasiat.

Ada banyak cara lain lagi untuk jadi bahagia, kata beliau.

Sebagai contoh, anda boleh bermain permainan dalam komputer, bermain dengan haiwan peliharaan mahupun meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

Namun, Dr. Anususya tidak menganggap kebahagiaan adalah perkataan yang tepat dalam beberapa situasi sebaliknya keamanan lah istilah yang benar.

3. Usaha untuk menolong orang lain

Sumber: R.AGE

“Apabila kita tertumpu kepada hendak menolong orang lain, ia secara tidak langsung akan memberikan kita keamanan dan keseimbangan yang diperlukan dalam hidup.” kongsi beliau.

Melakukan kerja-kerja amal atau sukarelawan juga mampu memberikan kebahagiaan kepada anda.

4. Jangan menambahkan lagi faktor kesedihan

Dr. Anususya turut menasihatkan bahawa jangan melakukan perkara yang boleh mengganggu jadual tidur atau memusnahkan lagi kebahagiaan anda.

Salah satu daripadanya adalah penggunaan media sosial sepanjang malam atau membuatkannya sebagai perkara pertama yang dibuat pada waktu pagi.

“Cuba jadikan rutin menggunakan media sosial dan membaca berita terutamanya yang tidak baik, selepas mengambil sarapan dan bukanlah menjadikannya perkara pertama anda lihat sejurus bangun dari tidur.” katanya.

Beliau juga menasihatkan supaya jangan terlalu fikirkan hal kehidupan orang lain di media sosial. Contohnya, apa yang berlaku dalam monarki British atau isu terkini tentang artis kegemaran.

Tiada manfaat yang anda boleh dapat apabila anda terlalu menaruh emosi terhadap mereka yang tidak mengenali anda.

5. Memilih untuk rasa bahagia

Memandangkan setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk berasa bahagia, Dr. Anususya mendedahkan bahawa kebahagiaan adalah pilihan.

“Rahsia kebahagiaan adalah terletak dalam pilihan anda sendiri.” kata beliau.

Ramai yang mungkin melalui fasa kemurungan terutamanya dalam waktu pandemik ini disebabkan pelbagai perkara negatif yang berlaku.

“Namun, anda tetap boleh bahagia jika anda memilih untuk rasa bahagia dan cuba untuk mengatasi kesedihan dalam diri.” kongsi beliau.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: