Cara Bukti Sayang, Iki Palek Ialah Tradisi Memotong Jari

Setiap suku mempunyai ritual dan tradisi tersendiri untuk menunjukkan rasa sedih mereka setelah kehilangan anggota keluarganya.

Begitu juga dengan suku Dani yang terletak di Papua ini yang melakukan ritual yang cukup ekstrim.

Salah satu ritual yang mereka lakukan ialah memotong ruas jari ketika kehilangan anggota keluarga mereka.

Tradisi ini dikenali sebagai Iki Palek iaitu sebuah cara yang ekstrim untuk menzahirkan bukti cinta kepada saudara sesuku atau keluarga yang meninggal dunia.

Bagi membuktikan tanda kesetiaan terhadap orang terdekatnya yang meninggal, pemotongan jari ini melambangkan rasa sakit yang luar biasa.

Selain daripada mengekspresikan rasa sayang, jari yang dipotong juga menunjukkan jumlah ahli keluarga yang telahpun meninggal dunia.

Sumber: Kumparan

Walaupun pada majoritinya, ramai wanita yang melakukan tradisi tersebut, tetapi para lelaki juga turut melakukan ritual tersebut sebagai bentuk kesedihan.

Menurut anggota suku Dani, menangis sahaja tidak cukup untuk mengekspresikan kesedihan yang dirasakan.

Rasa sakit dari memotong jari mereka itu dianggap mewakili hati dan jiwa yang dicabik-cabik oleh perasaan kehilangan.

Selain daripada itu, mereka juga memutuskan untuk melakukan tradisi Iki Palek ini kerana jari dianggap sebagai simbol harmoni, kesatuan dan juga kekuatan.

Jari juga dianggap sebagai lambang hidup bersama sebagai satu keluarga, satu puak, satu rumah, satu suku, satu nenek moyang, satu bahasa, satu sejarah dan satu asal usul.

Dalam bahasa Papua, perkara itu disebut sebagai “Wene opakima dapulik welaikarek mekehasik.”

Suku kaum ini kebiasaannya akan menggunakan kapak atau pisau tradisional untuk memotong jari mereka.

Sebelum jari mereka dipotong, jarinya itu juga akan diikat dengan seutas tali selama beberapa jam untuk menghentikan peraliran darah.

Setelah aliran darah terhenti, barulah mereka mula untuk memotong jari tersebut.

Kini, tradisi Iki Palek ini sudahpun mula menghilang akibat berkembangnya ilmu pengetahuan dan agama yang ada di Papua.

Meskipun begitu, rata-rata wanita separuh baya di sana boleh didapati kehilangan beberapa jari mereka kerana telah menjalankan tradisi Iki Palek.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: