Budaya flex atau secara mudahnya disebut sebagai satu tabiat menunjuk-nunjuk kekayaan di media sosial merupakan salah satu kebiasaan warganet pada masa kini.
Jika diperhatikan, terdapat ramai orang gemar untuk berkongsi gaya hidup mereka di media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter bahkan status WhatsApp.
Sememangnya tidak semua perkongsian di media sosial itu suatu perkara yang buruk. Akan tetapi terdapat satu tahap di mana budaya seperti menunjuk-nunjuk kehidupan mewah memiliki barang berjenama atau mempersembahkan kekayaan pada umum boleh memberi impak yang negatif.
Ia mula mempersoalkan semula tujuan dan nilai sebenar memuat naik perkara itu. Sebahagian pengguna hanya mahu berkongsi untuk dijadikan sebagai motivasi kepada orang lain dan ada juga yang merasakan media sosial merupakan tempat bebas bagi ekspresi diri.
Namun begitu, perkara yang perlu diingatkan bahawa perkongsian kita akan mendapat pelbagai persepsi dan juga padangan dari orang yang melihatnya. Tidak semua mempunyai pemahaman yang sama malah ianya juga boleh dipandang dengan niat yang sebaliknya.
Pengaruh budaya ini amat membimbangkan terutamanya kepada generasi muda masa kini. Dengan adanya pelbagai pendedahan di media sosial, generasi muda mudah terjerumus ke dalam perangkap untuk meniru gaya hidup sebegitu.
Anak muda kebanyakannya tidak peka apabila menghubungkan keinginan dengan realiti kehidupan sebenar. Oleh sebab itu, mentaliti mereka mula ke arah sifat materialistik yang hanya memikirkan nilai kebahagian terletak pada kekayaan semata-mata.
Budaya ini secara tidak langsung mengubah pandangan orang terhadap sesuatu benda. Segelintir masyarakat sanggup untuk menipu asalkan mereka nampak hebat di media sosial semata-mata untuk mendapatkan populariti.
Kesimpulannya, setiap perkara pasti ada hadnya dan kehidupan bukanlah satu perlumbaan. Pengguna media sosial seharusnya berhati-hati dan fikir sebaiknya sebelum membuat sebarang perkongsian.
Penjagaan rahsia peribadi amat penting kerana tidak semua benda perlu ditunjukkan kepada orang luar. Hargailah diri dengan seadanya dan jangan ambil mudah tentang sesuatu perkara.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: