Sebuah kilang stoking di Jepun bernama Souki Socks mempunyai sebuah mesin yang membolehkan orang awam untuk mengait stoking mereka sendiri dengan hanya mengayuh pedal basikal.
Seperti yang kita tahu, aktiviti mengait mengambil masa yang lama serta memerlukan konsentrasi individu untuk masa yang agak panjang. Jadi tidak pelik apabila ada individu yang mengatakan aktiviti ini agak leceh dan tidak menyeronokkan.
Berfikir tentang hal itu, ahli di Souki Socks ini datang dengan idea untuk membuatkan aktiviti mengait menjadi lebih mudah dan seronok untuk orang awam. Idea mereka ialah untuk menggabungkan mesin mengait stoking dengan basikal agar sesiapa sahaja boleh mengait stoking dengan hanya mengayuh pedal.

Mesin yang dinamakan “Charix” itu kemudiannya telah menjadi sangat popular di kalangan pelancong semenjak ia diperkenalkan pada 2017.
Sebelum mereka mula mengayuh untuk mengait stoking, pengunjung kilang mula-mula sekali harus memilih saiz stoking serta warna yang akan digunakan pada stoking mereka. Pekerja kilang yang pakar kemudiannya akan menyambungkan bebenang itu kepada mesin, selepas siap maka mulalah sesi untuk mereka mengayuh.
Ia mengambil kira-kira 10 minit untuk satu pasang stoking untuk siap. Selepas siap mengayuh maka pekerja akan jahit bahagian jari sebelum akhirnya siapkan stoking yang telah dikait. Jadi pengunjung boleh segera mengambil stoking yang dikait mereka untuk dibawa pulang ke rumah.

Disebabkan permintaan yang tinggi untuk stoking unik Souki Socks ini, mereka telah membuat pilihan untuk orang ramai menempah secara dalam talian dan pekerja mereka yang akan mengait/mengayuh stoking itu untuk mereka.
Di Charix Online, pelanggan boleh memilih saiz stoking yang mereka ingin serta 3 jenis bebenang daripada 36 warna yang disediakan. Kemudian memilih pekerja yang akan mengait/mengayuh stoking itu untuk mereka. Pelanggan boleh memilih daripada barisan pekerja Soucki Socks mahupun orang atasan seperti Pengerusi Yasuhiko yang berusia 68 tahun ataupun Presiden Kohei.
Proses mengayuh/mengait stoking itu kemudiannya akan dimuat naik ke laman media sosial sebagai bukti. Untuk maklumat anda, stoking mereka ini berharga 2200 yen (RM77.30).
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: