Susah untuk dipercayai, namun pada era moden ini masih wujud sesetengah individu yang menganggap bahawa ibu bapa mereka yang sudah tua dan uzur itu sebagai satu beban.
Malah, generasi kini mereka akan meletakkan ibu bapa mereka di pusat jagaan orang tua tanpa ada perasaan serba salah dan terus meninggalkan mereka bersendirian.
Pada zaman dahulu, terdapat satu budaya yang dikenali sebagai ubasute atau ubasuteyama yang sering diceritakan dalam kisah-kisah lama rakyat Jepun.
Perkataan ubasute itu diterjemahkan membawa maksud ‘meninggalkan wanita tua’.
Menurut kisah rakyat Jepun, pada waktu dahulu budaya ini dipraktikkan dalam keluarga yang dalam keadaan susah.
Oleh kerana itu, ia memaksa anak-anak untuk membawa ibu bapa mereka yang sudah uzur ke puncak gunung sebelum meninggalkan mereka yang lemah itu meninggal dunia seorang diri.

Hal ini untuk mengurangkan kos hidup dan mengelakkan kebuluran berlaku.
Namun, ada sesetengah pihak yang mendakwa amalan ini hanya rekaan semata-mata. Malah, ada yang mengatakan Ubasute ini ada kaitan dengan kawasan terkenal Suicide Forest di Jepun.
Menurut buku Kondsha Illustrated Encyclopedia, budaya ini dikatakan banyak muncul dalam cerita rakyat lama dan mungkin bukan amalan yang biasa dilakukan oleh sebahagian besar rakyat Jepun pada waktu itu.
Budaya ini dikatakan wujud kerana keadaan yang terdesak pada zaman dahulu membuatkan mereka bertindak sedemikian untuk kelangsungan hidup ahli keluarga yang lain.
Pertama, ahli keluarga akan memilih seorang orang tua, kebiasaannya seorang wanita yang tidak mampu untuk bekerja. Wanita tua itu akan dibawa untuk ‘berhijrah’ dengan salah seorang anak lelaki.
Anak lelaki tersebut akan mendukung ibunya sambil mendaki puncak gunung.

Sepanjang perjalanan tersebut, wanita tua itu akan mematah-matahkan ranting dan bahagian-bahagian pokok lalu dicampakkan di atas tanah untuk berfungsi sebagai penanda arah buat anaknya ketika pulang.

Sebaik sahaja tiba di puncak, anak lelaki itu akan meninggalkan ibunya dan memulakan perjalanan ke rumah. Wanita tua yang sudah uzur itu akan menunggu hari demi hari sehingga menemui ajal kerana kelaparan, dehidrasi dan hipotermia.
Difahamkan, tidak semua akan pergi ke puncak gunung untuk meninggalkan orang tua mereka, ada yang memilih untuk meletakkan mereka di dalam kawasan hutan lebat.
Pemilihan tempat bukanlah objektif utama, apa yang penting buat mereka adalah kawasan itu boleh menjamin wanita tua yang ditinggalkan itu menemui ajal.
Tiada bukti yang cukup kukuh tentang kewujudan amalan ini di Jepun kerana ia terhad kepada cerita rakyat semata-mata.
Walau bagaimanapun, kisah-kisah ini telah menjadi inspirasi kepada amalan membuang orang tua pada zaman moden kerana terdapat laporan yang hampir sama dengan budaya tersebut.
Pada tahun 2015, dilaporkan bahawa seorang lelaki berusia 63 tahun dituduh meninggalkan kakaknya yang kurang upaya di atas gunung sehingga meninggal dunia.
Dalam laporan lain pula, seorang wanita ditangkap kerana meninggalkan ayahnya di sebuah pusat servis di lebuh raya pada tahun 2018.
Sumber: Iluminasi