Berstatus Planet Kerdil, Ini Sejarah Penemuan Dan Sebab Pluto Tidak Lagi Digelar Sebagai Planet

Sebelum ini, Pluto dikenali sebagai salah satu planet daripada 9 buah planet yang terdapat dalam sistem solar. Kita juga diberitahu Pluto merupakan planet terkecil yang ada dalam sistem.

Tetapi, pada Ogos 2006, Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) telah menurunkan status Pluto daripada planet kepada ‘planet kerdil’.

Semenjak daripada itu, hanya sistem solar dalaman dan gas gergasi dari sistem luaran sahaja akan digelar sebagai planet.

Sistem solar dalaman adalah kawasan ruang angkasa lepas yang lebih kecil daripada jejari orbit Jupiter mengelilingi matahari. Ia mengandungi gegelang asteroid serta planet Utarid, Zuhrah, Marikh dan juga Bumi.

Gas gergasi pula merupakan Zuhal, Musytari, Neptun dan juga Uranus.

Hal ini bermaksud bilangan planet hanyalah 8 dan bukan 9 seperti dahulu.

Planet kerdil ditakrifkan oleh IAU sebagai objek angkasa dalam orbit Matahari yang cukup besar sehingga bentuknya dikawal oleh daya graviti berbanding dengan kekuatan mekanik, tetapi ia tidak membersihkan objek-objek di kawasan sekelilingnya.

Terdapat tiga kriteria yang telah ditetapkan oleh IAU untuk sesebuah objek angkasa lepas diklasifikasikan sebagai planet bersaiz penuh. Kriteria tersebut terdiri daripada:

  • Berada dalam orbit mengelilingi Matahari
  • Mempunyai jisim yang cukup untuk mewujudkan kesimbangan hidrostatik (berbentuk hampir sfera)
  • Telah membersihkan kawasan sekitar di sekeliling orbitnya

Pluto hanya memenuhi kriteria pertama dan kedua sahaja. Sepanjang berbilion-bilion tahun ia berada di tempaatnya, Pluto tidak berjaya membersihkan objek-objek lain di kawasan sekitarnya.

Membersihkan objek-objek lain di kawasan sekitar adalah bermaksud planet tersebut menjadi dominan secara graviti iaitu tiada objek lain yang setanding dengannya selain daripada setelitnya sendiri atau yang lain di bawah pengaruh gravitinya yang terletak di sekitar ruang angkasa.

Disebabkan oleh itu, objek gergasi yang tidak memenuhi kriteria telah dikategorikan sebagai planet kerdil dan ia termasuklah dengan Pluto. Pluto berkongsi kawasan orbitnya dengan objek-objek gegelang Kuiper.

Sejarah penemuan Pluto

Pluto ditemui pada 18 Februari 1930 di Balai Cerap Lowell di Flagstaff, Arizona oleh ahli astronomi yang bernama Clyde W. Tombaugh dengan bantuan daripada William H. Pickering.

Lowell Observatory

Pada waktu itu, dunia astronomi berhadapan dengan pencarian planet yang sengit. William Pickering merupakan seorang peramal planet yang produktif ketika itu.

Pada tahun 1906, seorang warga Boston iaitu Percival Lowell yang mengasaskan Observatorium Lowell di Flagstaff, Arizona telah memulakan projek secara meluas untuk mencari planet kesembilan iaitu disebut pada waktu itu sebagai ‘Planet X’.

Percival mengkaji dan melakukan pencarian sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1916. Segala usahanya tidak mendatangkan hasil.

Perkara yang tidak deketahui oleh Percival ialah pada 19 Mac 1915, Balai Cerap Lowell telah mengambil dua keping gambar Pluto. Tetapi ia samar dan tidak diiktiraf.

Pencarian untuk Planet X tidak dijalankan selepas itu sehinggalah pada tahun 1929. Tugas pencarian diserahkan kepada Clyde Tombaugh yang berusia 23 tahun dan baru sahaja tiba di Balai Cerap Lowell.

Clyde Tombaugh 

Clyde ditugaskan untuk mengambil gambar langit malam secara sistematik dalam tempoh selang dua minggu. Kemudian Clyde memeriksa kedua-dua gambar tersebut untuk menentukan sama ada terdapat objek yang telah beralih kedudukannya atau tidak.

Selepas hampir setahun melakukan pencarian, pada 18 Februari 1930, Clyde menemui objek yang mungkin bergerak pada plat fotografi yang diambil pada 23 Januari dan 29 Januari tahun tersebut.

Sejurus balai cerap itu mendapat gambar pengesahan selanjutnya, berita penemuan Planet X telah dihantar menggunakan telegraf ke Balai Cerap Kolej Harvard pada 13 Mac 1930.

Penemuan planet itu menjadi bualan hangat dan berita utama di seluruh dunia.

Disebabkan Balai Cerap Lowell yang menemui planet ini, mereka diberi hak untuk menamakan planet ini. Lebih 1,000 cadangan dari seluruh dunia dan akhirnya mereka memilih Pluto sebagai nama planet tersebut. Nama Pluto dicadangkan oleh seorang pelajar sekolah berusia 11 tahun iaitu Venetia Burney dari Oxford, England.

Kemudian, planet itu secara rasminya digelar sebagai Pluto pada tanggal 24 Mac 1930 dan perkara itu diumumkan pada 1 Mei 1930.

Sumber: Iluminasi