Berakhirnya Kerajaan Pakatan Harapan? Malaysia Cari Hala Tuju Baru

Hari ini terdapat lima mesyuarat politik yang berlangsung dan penggiat media semua tertumpu kepada mesyuarat di Hotel Sheraton, Petaling Jaya dan mesyuarat Parti Peribumi Bersatu Malaysia bersidang.

Turut bersidang, mesyuarat di Janda Baik, Pahang – antara UMNO dan PAS, dua parti yang membentuk Muafakat Nasional, serta mesyuarat parti-parti Sabah dan Sarawak di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ketika tulisan ini ditulis, mesyuarat di Hotel Sheraton Petaling Jaya masih lagi belum selesai, namun beberapa kelibat anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan penyokong Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada di situ.

Mereka yang digelar “geng kartel” dikatakan tidak sehaluan dengan kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berakhirnya era Malaysia Baru?
Dengan perbezaan ideologi antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan yang ketara, ia sudah awal-awal lagi ditakdirkan untuk gagal.
Harapan yang pada akhirnya menjadi hampa.

Era Malaysia Baru bermula selepas sahaja Pakatan Harapan menumpaskan Barisan Nasional, sekaligus menamatkan gabungan parti yang memerintah negara sejak kemerdekaan pada tahun 1957, pada Pilihanraya ke-14.

Empat buah parti yang berlainan ideologi, iaitu PPBM, PKR, DAP dan Amanah bergabung dan membentuk Pakatan Harapan.

Amanah dengan dasar demokrasi Islamis, pecahan dari parti PAS, PPBM ialah parti nasionalis Melayu, yang berpecah dari UMNO, PKR pula ditubuhkan untuk perjuangan Anwar Ibrahim sejak dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Dan DAP, merupakan parti yang memperjuangkan Malaysian Malaysia – dimana mahukan negara yang tidak dilabel berdasarkan kaum, seperti di Singapura.

Untuk melihat gabungan ini berjaya sebagai sebuah kerajaan adalah sangat naif. Ini kerana tidak seperti gabungan Barisan Nasional, agenda mereka tidak selari dan ideologi mereka bertembungan sesama sendiri.

Terasasnya kerajaan Pakatan Harapan pada hari pertama itu, sudah ditakdirkan untuk gagal.

Dan disebabkan ini, Malaysia Baru sudah awal-awal lagi sudah ditakdirkan untuk gagal.

Rentetan kegagalan demi kegagalan ini mencetuskan krisis kepercayaan rakyat kepada kerajaan yang ditubuhkan.

Sebenarnya simptom ini mula kelihatan selepas PRK Cameron Highlands. Kekalahan Pakatan Harapan yang pertama ini menyebabkan mereka mula diasak dengan pelbagai tuntutan janji yang mereka katakan semasa kempen PRU-14 yang lalu.

Kenaikan harga barang, kemerosotan nilai bursa saham, gaji yang tidak naik seiring dengan inflasi, serta perselisihan antara kaum mula berlaku dan ramai orang mula melihat realiti baru dalam Malaysia Baru.

Realiti ini tidak dapat ditangani oleh kerajaan Pakatan Harapan, menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kerajaan ini.

K0nflik semenjak krisis reformasi 1998
Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim, di era 1990an.

Bukan lagi rahsia, dua pemimpin ini – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berkelahi bukan sahaja sejak 1998, bahkan sejak sebelum itu lagi. Pertembungan dua ego besar ini menyebabkan berlakunya krisis politik selepas krisis ekonomi 1997/98.

Krisis politik ini berada di kemuncak pada 2 September 1998, apabila Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Dan selama 22 tahun inilah persaingan antara dua pemimpin ini terus berlaku, walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi menjadi Perdana Menteri dari 2003 hinggalah 2018.

“Rakyat menuntut perubahan” sebab nak lawan Najib?

Apabila Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri pada 2009, ia menyambung kesinambungan sebagai proksi Tun Dr Mahathir selepas Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi, gagal untuk memenuhi kemahuan Mahathir.

Pun begitu, Najib juga enggan menjadi ‘boneka’ Mahathir dan ‘went rogue’, menyebabkan Mahathir terpaksa bertindak dengan pergi ke Pakatan Harapan untuk menumpaskan Najib.

Dalam hal ini, ia bukanlah Mahathir menjadi insaf daripada perangai lamanya. Pepatah orang Inggeris ada berkata, “old dogs is hard to learn new tricks“.

Maknanya, orang tua memang sukar untuk diubah fikirannya. Kalau dah dia ni begini masa muda, kalau tak berubah, maka tak berubahlah jawabnya.

Pertarungan ini – selama ini, memang antara Mahathir dan Anwar. Najib dan Abdullah Badawi cuma proksi Mahathir untuk mengekang Anwar daripada menjawat jawatan Perdana Menteri.

Selagi hayatnya masih ada, misi Mahathir cuma satu, untuk tidak membiarkan Anwar menjadi penghuni di Sri Perdana – walaupun terpaksa masuk ke dalam pakatan yang dibina oleh Anwar.

Kenapa Mahathir tak mahu Anwar jadi Perdana Menteri? Kita cuma tahu desas-desus, tapi hanya Mahathir sahajalah tahu jawapannya.

Sama ada kerajaan Pakatan Harapan hari ini runtuh atau tidak, kita tunggulah sampai kata putus nanti. Kita sebagai rakyat, menanti keputusan itu dengan sabar.