Saban tahun, peminat buku pasti tidak sabar untuk menantikan jualan besar-besaran buku yang sentiasa menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan pada harga murah.
Ini merupakan peluang mereka untuk memborong pelbagai jenis buku yang mereka ingini. Namun tanpa disedari kebanyakan daripada peminat buku sebenarnya membelinya tetapi langsung tidak dibaca.
Cuba tanya diri anda, berapa agaknya naskah buku yang dimiliki tetapi masih belum dibaca sehingga hari ini?
Jangan risau, perkara ini sebenarnya sering terjadi bahkan di seluruh dunia. Malah, perbuatan ini telah diiktiraf sebagai sebuah budaya di Jepun dan dikenali sebagai ‘tsundoku’.
Gelaran ini telah digunakan sejak abad ke-19 lagi. Tsundoku hadir daripada gabungan perkataan bahasa Jepun iaitu ‘tsun’ dan ‘doku’.
Tsun membawa maksud ‘mengumpul’ manakala doku pula sering digunakan untuk memberi maksud kata kerja ‘membaca’.
Apabila kedua-dua perkataan ini disambung, ia membawa maksud membeli bahan bacaan serta mengumpulnya.
Profesor Andrew Gerstle dari Universiti London berkata, frasa ‘tsundoku sensei’ sebenarnya sudah wujud dalam dunia penulisan sejak tahun 1879 lagi menurut penulis Jepun, Mori Senzo.
Berbeza Dengan Bibliomania
Mungkin ada di antara anda yang berpendapat bahawa ia mempunyai maksud yang hampir sama dengan ‘bibliomania’. Akan tetapi, pada hakikatnya ia membawa maksud yang berbeza.
Tsundoku lebih kepada keinginan untuk membaca buku tetapi tidak membacanya manakala bibliomania pula membawa maksud keinginan dan kemahuan untuk memiliki buku, menurut Kamus Oxford.
Jadi, anda yang mana satu? Tsundoku atau bibliomania, atau bukan kedua-duanya?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: