Dua bulan yang lalu, kecoh di media sosial apabila pelakon terkenal, Maya Karin dengan satu ciapan di Twitter bercakap tentang budak perempuan di Terengganu yang tidak mahir berbahasa Inggeris. Lalu macam biasa kita akan ada dua kem iaitu kem pro-bahasa Inggeris dan kem pro-bahasa Melayu.
Puak kem bahasa Inggeris berpendapat bahawa bahasa Inggeris adalah penting kerana ini adalah skil untuk menjadikan Malaysia kompetitif dalam hal ekonomi, perindustrian dan hal-hal yang berkait.
Puak kem bahasa Melayu pula berpendapat bahawa bahasa Melayu perlu didaulatkan kerana ini adalah bahasa kebangsaan.
Baik, saya nak tanya korang satu soalan. Korang kalau berfikir, korang berfikir dalam bahasa apa?
Macam saya, secara jujurnya, bercampur. Kadang-kadang saya berfikir dalam bahasa Inggeris dan kadang-kadang saya berfikir dalam bahasa Melayu. Kadang-kadang saya rojak campur aduk.
Ini bermakna cara saya dibesarkan adalah dengan dua arus pemikiran bertembung. Ini kerana saya dibesarkan di Balakong, dan Kajang di era 90an secara relatifnya masih pekan kecil, tak macam sekarang.
Tetapi mereka yang saya panggil “Bangsar Bubble” ni adalah mereka yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa berfikir mereka, dan ini secara kolokial; takdelah saya kata semua orang Bangsar tu berfikir dalam bahasa Inggeris.
Ada saja makcik jual goreng pisang, pakcik jual char kuey teow kat Jalan Telawi tepi shop lot tu memang orang Bangsar tapi mereka ni guna bahasa Melayu sebagai alat berfikir.
Term Bangsar Bubble ni dengar masa saya bekerja di Bangsar, iaitu semasa saya seorang wartawan di The Malaysian Insider. Terma ini menggambarkan golongan professional yang bekerja di pejabat-pejabat sekitar Bangsar yang kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar.
Maksudnya dapat surat pekeliling pejabat bahasa Inggeris. Bos bagi arahan pun dalam bahasa Inggeris. Mesyuarat pun dalam bahasa Inggeris.
Kenapa begitu? Bukan sebab bahasa Inggeris ni bahasa penjajah kita sebelum 1957. Dan alasan bahasa ini bahasa antarabangsa pun alasan yang tak boleh dipakai.
Saya pernah ada meeting dengan delegasi Hong Kong masa saya di AIESEC dulu. AIESEC ini ialah persatuan pelajar antarabangsa yang mempunyai rangkaian dari seluruh dunia.
Dorang terpaksa guna penterjemah walaupun British keluar dari Hong Kong tahun 1997. Nak kata bahasa penjajah ni alasan, kita 40 tahun lagi awal British keluar dari Hong Kong. Nak kata alasan bahasa antarabangsa, Hong Kong ni lagi antarabangsa daripada Kuala Lumpur.
Kerana ada satu golongan ini, mereka enggan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka bahasa Inggeris dijadikan sebagai lingua franca untuk mereka di Bangsar Bubble ni.
Kenapa mereka enggan menggunakan bahasa Melayu? Ada beberapa sebab. Yang pertama, pendidikan.
Sesetengah orang ini belajar di sekolah yang didirikan oleh penjajah Inggeris (Penang Free, St John, VI, Methodist, Convent etc.), golongan ini menerima pendidikan dari institusi yang dah lama bertapak di negara ini dengan bahasa Inggeris.
Jadi kalau sekolahnya diajar cakap Inggeris, maka dia akan berfikir dalam bahasa Inggeris lama kelamaan.
Yang kedua ialah mereka yang bersekolah di sekolah jenis kebangsaan, macam SJKC dan SJKT. Mereka ini belajar dalam bahasa ibunda mereka dan mereka berfikir pun dalam bahasa ibunda mereka. Cumanya, apabila mereka masuk dalam workforce, macam Cina, mereka ada ekosistem ekonomi mereka yang tersendiri.
Mereka tak perlu pun belajar cakap bahasa Melayu dan hanya tahu sikit bahasa Inggeris untuk faham manual enjin kereta atau nak mengoperasikan mesin. Sebab kaum ini memiliki modal yang cukup tanpa perlu bergaul dengan kaum lain.
Ada yang masuk workforce yang bercampur dengan bangsa lain, dan disebabkan kesukaran ini, untuk lingua franca, gunakan bahasa Inggeris memandangkan semua orang belajar bahasa Inggeris.
Jadi, kesan imperialisme Inggeris tu masih berbekas dalam negara-negara bekas jajahannya walaupun dah berpuluh tahun dekolonialisasi.
Berbalik pada Hong Kong. Hong Kong memang jajahan British sampai 1997, tetapi masih ramai lebih selesa menggunakan bahasa Kantonis daripada Inggeris sebenarnya. Kerana Hong Kong ni, sebelum Deng Xiaopeng membuka China pada dunia pada late-70s, sebelum China memasuki WTO pada 2001, Hong Kong ni pintu pagar Barat untuk memasuki pasaran China.
Jadi disebabkan dia ni pintu pagar yang menjaga market 1.2 billion manusia pada era pre-WTO, dan Kantonis sebagai bahasa di China Selatan yang ditutur oleh hampir 150 juta orang di wilayah Guangdong, Hong Kong dan Macau, jadi mereka lebih selesa menggunakan bahasa Kantonis daripada Inggeris.
Orang Hong Kong yang cakap Inggeris ni kerja kerajaan atau yang berkait dengan perundangan macam peguam, hakim dan majistret tu semua. Kenapa? Sebab hukum hakam tu semua ditulis dalam bahasa Inggeris, maka mereka pun perlu berfikir dalam bahasa Inggeris untuk membuat keputusan.
Maka saya berfikir panjang lepas berborak dengan kawan tentang isu ni dan dia kata dengan saya, dan hanya satu sahaja sebab; bahasa Inggeris ni penting kerana imperialisme terbesar ialah dari bangsa Anglo Saxon.
Tak kisahlah British ke, Amerika ke, bangsa Anglo-Saxon penjajah paling berjaya dalam sejarah manusia. Apa yang dicita-citakan oleh Mongol, atau Abbasid, atau Turki Uthmaniyyah, atau Rom, semua ni hanya dicapai oleh bangsa Anglo Saxon melalui British (Pax Brittanica) dan Amerika (Pax Americana).
Dengan sea supremacy oleh British pada kurun ke-19 dan air and space supremacy oleh Amerika selepas Perang Dunia Kedua, maka imperialisme ini berkembang di seluruh dunia. Tak ada kawasan perairan laut yang tak boleh dijejaki lagi dalam Bumi ni sejak air supremacy ni.
Tapi bangsa Anglo Saxon ini adalah kuasa paling dominan dalam zaman moden. Malangnya orang dalam Bangsar Bubble ni fikir kita dalam zaman moden lagi. Ha sekali lagi inilah saya nak cakap yang mereka ni dah ketinggalan.
Sekarang ni zaman dah pasca moden. Amerika di bawah pemerintahan Donald Trump semakin mengendurkan kuasa tenteranya di luar untuk fokus kepada hal domestik. British pula sejak Brexit mahu memberi fokus kepada negara mereka sahaja.
Ini yang golongan Bangsar Bubble macam Maya Karin tak nampak. Sebab pasca moden – tidak lagi bergerak macam zaman moden, yang mana ia dikuasai oleh imperialis.
Zaman sekarang, nasionalisme di dalam era kebangkitan selepas sekian lama ditekan golongan globalis. Golongan globalis ini adalah mereka yang masih percaya dengan idea modeniti – one size fits for all and only one measurement to explain reason.
Pasca moden menolak benda ni. Maknanya kalau kau nak cipta jet pejuang dalam manual loghat Terengganu pun kau punya pasal, yang penting ada kemampuan membangunkan teknologi.
Sebab itulah pentingnya kita belajar bergaul dengan orang. Sebab hanya dengan cara tu, baru boleh memahami masyarakat tu, secara tak langsung boleh berkomunikasi dan berfikir di luar kotak pemikiran kita sendiri.
Zaman dah berubah. Satu hari nanti pun, Bahasa Inggeris akan jadi tak penting sebab bangsa Anglo Saxon dah tak jadi imperialis yang kuat macam zaman moden, dan akan dikenang macam kita kenang sejarah Mongolia atau Rom.
Belajarlah terima hakikat, Bangsar Bubble.
“Nothing last forever, including English language. Soon it will fade away like old languages that died ages ago.”
Bukanlah menolak kepentingan Bahasa Inggeris pada ketika ini, tapi ia bukan pengukur kebijaksanaan.
Sebab bak Kata Rene Descartes, “aku berfikir maka aku wujud“. Tapi kalau korang berfikir dalam bahasa imperialis, kewujudan korang masih lagi ada tetapi minda kau masih dijajah imperialis.
Jadi, berlapang dadalah! Sebab biarlah orang nak berfikir dalam bahasa apa yang mereka selesa. Tak payahlah guna alasan ekonomi ke bahasa antarabangsa ke apa. Ini dah zaman pasca moden. Zaman dah berubah.
Modernity is out of fashion. Terima je lah hakikat.