Bagaimana Vietnam Menguasai Sains Dan Matematik Tanpa PPSMI?

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pemangku Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa matapelajaran Sains dan Matematik akan diajar semula dalam bahasa Inggeris.

Ini sekaligus mengulangi semula dasar beliau ketika beliau menjadi perdana menteri kali pertama, pada era lewat 90an dan awal 2000an dahulu.

Dasar ini secara umumnya terbahagi kepada dua kelompok: mereka yang menyokong, dan mereka yang menentang dasar ini.

Pada yang menyokong, pendapat mereka ialah kerana terdapat banyak buku-buku sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, maka ia lebih mudah untuk membuat rujukan, serta ia membantu pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris.

Bagi yang menentang pula, dasar ini jelas merendahkan peranan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, dalam kedudukan ranking negara-negara yang menguasai sains dan matematik, rata-ratanya bukanlah negara yang mahir berbahasa Inggeris.

Antara negara-negara yang sering berada di atas ialah Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Belanda, Jerman dan Finland.

Terdapat beberapa negara yang menggunakan bahasa Inggeris di tangga teratas seperti Kanada, Australia, New Zealand, Singapura dan Hong Kong, namun ia bukanlah faktor utama mengapa sains dan matematik mereka berada di tempat teratas.

Pun begitu nama-nama yang disebut merupakan negara maju, namun ada negara yang ekonominya lebih kurang seperti Malaysia berada di tangga yang atas.

Vietnam berada di tangga ke-12, dan negara tersebut bukanlah negara yang fasih berbahasa Inggeris.

Puncanya ialah kerana sistem pendidikan Vietnam yang menerapkan sistem latih tubi dalam matematik, serta faktor masyarakat yang mengangkat dua perkara ini sebahagian daripada budaya mereka.

Selepas tamatnya p3rang Vietnam dengan Amerika Syarikat pada 1976, kemudiannya dengan China pada 1979, Vietnam memulakan ekonominya melalui dasar pendidikan yang mengutamakan sains dan teknologi.

Pada tahun 1980, Vietnam, dengan kerjasama bersama S0viet Union, menghantar angkasawan Asia pertama bernama Pham Tuan.

Kejayaan Vietnam selaku negara Asia pertama menghantar rakyatnya ke angkasa, menjadikan mereka bersemangat dalam memajukan sains dan matematiknya dalam semangat nasionalisme.

Semangat nasionalisme dan bangga ke atas kejayaan negara, disamping semangat mendalami ilmu sains dan teknologi, menjadikan Vietnam antara pendahulu dalam bidang teknologi angkasa dan telekomunikasi.

Dan Vietnam tidak pernah pula meletakkan silibus sains dan matematiknya dalam bahasa Rusia, apatah lagi dalam bahasa penjajahnya iaitu bahasa Perancis atau Inggeris (Amerika Syarikat).

Sebaliknya mereka menekankan bahasa Vietnam sebagai bahasa penghantar dalam sains dan matematik.

Kerana lebih mudah untuk mempelajari ilmu dalam bahasa ibunda berbanding belajar dalam bahasa asing.

Vietnam juga sangat rajin menterjemah buku-buku, baik dalam fiksyen atau non-fiksyen ke bahasanya. Ini menggalakkan rakyatnya untuk mempelajari ilmu dari Barat, tanpa perlu menjadi orang Barat.

Ini kerana falsafah mereka ialah “bahasa adalah alat fikir masyarakat, jika bahasa yang digunakan adalah bahasa asing, maka mindanya telah dijajah”.

Semangat nasionalisme, sistem kurikulum latih tubi serta budaya menekankan sains dan teknologi dari sekolah rendah menyebabkan Vietnam antara negara pendahulu dalam sains dan matematik di Asia.

Vietnam juga menghasilkan teknologi 5G dengan hasil usaha rakyat tempatan, tanpa bantuan negara asing, agar mereka dapat mencipta teknologi tersebut berdasarkan kehendak masyarakat setempat.

Vietnam juga banyak mencontohi Jepun yang bangkit selepas p3rang, dan walaupun jurang antara dua negara itu masih jauh, ekonomi Vietnam hari ini jauh lebih pesat membangun berbanding selepas p3rang Vietnam.

Jadi, contohilah Vietnam dalam sains dan teknologi kerana dengan nasionalisme dan sistem kurikulum yang tekun, serta menerapkan budaya saintifik dalam masyarakat, barulah boleh berjaya dalam bidang sains dan matematik.

Bukannya dengan langkah malas dengan menggunakan bahasa asing, lalu membuatkan para pelajar menjadi tak faham, seterusnya bosan dengan matapelajaran sains dan matematik ini.