Baca Buku Ringankan Hukuman Penjara Di Brazil

Perompak. Perogol. Pembunuh. Itulah gambaran yang diberikan kepada penghuni penjara di Brazil ini atas kes jenayah yang dilakukan.

Penjara di Brazil dikatakan antara penjara paling bermasalah di dunia. Penjaranya besar namun terlalu padat dan menempatkan penjenayah ganas-ganas. Pernah berlaku seramai 130 lebih penghuninya mati terbunuh dalam satu rusuhan berlaku di dalam penjara.

Selain itu, ramai banduan beberapa kali cuba melarikan diri melalui terowong bawah tanah demi sebuah kebebasan.

Namun ada sinar harapan yang membolehkan mereka untuk lari daripada realiti tersebut iaitu dengan cara membaca buku.

Berdasarkan berita daripada beberapa media antarabangsa, Penjara Persekutuan di Brazil dilaporkan mengambil inisiatif untuk kembali memanusiakan para penghuninya dengan melaksanakan program “Redemption Through Reading”.

Menerusi program ini, para penghuni penjara dikehendaki membaca buku dan menulis ulasan atau laporan buku dengan kemas mengikut format yang ditetapkan. Tempoh tahanan akan dikurangkan selama empat hari untuk sebuah buku.

Program ini diharapkan dapat membantu para banduan untuk berhadapan dengan masyarakat kelak di samping mengukuhkan asas kebudayaan dalam diri mereka. Rata-ratanya datang daripada keluarga miskin dan tercicir pelajaran. Hampir separuh (46%) banduan Brazil tidak menghabiskan pendidikan asas mereka dan lebih 26,000 orang tidak celik huruf.

Hanya sesetengah buku tempatan dan luar negara yang melepasi program ini termasuk buku kanak-kanak untuk mengajar mereka membaca. Buku bertemakan keganasan diharamkan. Bahan bacaan lain pula berbentuk sastera, falsafah, sains dan karya klasik.

Salah satu novel yang popular dan mendapat sambutan di dalam penjara tersebut berjudul ‘Les Misérables’ yang mengisahkan tentang bekas penjenayah yang cuba membina kehidupan baru di luar sana.  

Sebuah penyelidikan dalam laporan portal Branding News mendapati banduan Brazil membaca buku sembilan kali lebih banyak daripada rakyat negara itu yang puratanya lima buah buku setahun.

Hal ini menarik minat Carambaia, sebuah syarikat penerbitan terkemuka di Brazil untuk menderma lebih banyak buku kepada pihak penjara tersebut.

Apa yang menarik, syarikat ini turut mengupah para banduan itu sebagai pengkritik buku. Segala ulasan dan pendapat mereka akan dipaparkan di poster kedai buku, postingan media sosial, portal dalam talian, iklan majalah dan video dokumentari sebagai bahan komunikasi pemasaran.

Begitulah bagaimana buku dapat menerangi kegelapan hari-hari di penjara negara tarian Samba itu. Ilmu dapat membebaskan diri seseorang daripada kejahilan dan membaca merupakan jambatan ilmu.

Bila refleks balik, kita pun mungkin tidak sedar kita ‘terpenjara’ dalam kebimbangan, kealpaan, kekalutan orang ramai dan tercari-cari eskapisme sehinggalah kita mula membaca buku.

Sumber: