Baru-baru ini tular video tarian zapin oleh pelajar dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang dirakam pada tahun 2018 di Korea Selatan.
Video itu dimuat naik oleh Performing Arts Group (UPAG) di laman TikTok, dimana tarian tersebut diiringi lagu dendangan Noraniza Idris.
Boleh dilihat melalui video berkenaan, penonton di jalan Cheonan, Korea Selatan itu sangat teruja menonton persembahan zapin walaupun dalam hujan.
Rata-rata warganet juga turut memberi komen bahawa mereka bangga melihat tarian warisan ini dipersembahkan di sana.
Dikesempatan ini, mari baca sejarah asal usul tarian warisan ini yang telah menambat hati penonton Korea yang juga menjadi satu kebanggaan rakyat Malaysia.
Asal Tarian Zapin

Mengikut sejarah, tarian ini dikatakan berasal dari sebuah tarian hiburan istana yang dibawa oleh pedagang Arab pada awal abad ke-16.
Pada ketika itu, Melaka digantikan oleh Johor sebagai pusat perdagangan antarabangsa menyebabkan negeri itu mempunyai pengaruh budaya Arab yang kuat.
Hal ini kerana pada abad ke-19, berlakunya penghijrahan besar-besaran orang Yaman ke negeri Johor.
Zapin bermaksud ‘gerak kaki’ daripada perkataan ‘al-Zafin’. Gerak tarinya berasaskan gerak kaki penari-penarinya.
Tarian yang mempunyai unsur budaya Arab ini menjadi terkenal setelah tersebar di negeri-negeri berdekatan dan diangkat menjadi warisan bagi Johor.
Dasar Tarian Zapin

Tahukah anda pada asalnya tarian zapin hanya ditarikan oleh kaum lelaki sahaja?
Hanya setelah tarian ini tersebar luas, barulah ditarikan secara berpasangan.
Tarian warisan Johor ini mempunyai tiga struktur utama persembahan iaitu:
- Taksim– Petikan gambus dimainkan secara solo bagi membenarkan penari mengambil tempat
- Ragam dan Kopak– Paluan maruas di akhir pantun
- Wainab– Pengakhiran sebuah pantun
Selain itu, tarian zapin selalunya diiringi dengan musik tradisional seperti Lancang Kuning, Naan Sidi dan Ya Salam.
Bagi pakaian pula, para penari akan memakai pakaian tradisional iaitu baju melayu, kurung atau sarung kebaya.
Jenis Tarian Zapin

Terdapat lima pecahan dari tarian zapin ini iaitu Tarian Zapin Arab, Tarian Zapin Johor, Tarian Zapin Lenga, Tarian Zapin Pekan dan Tarian Zapin Tenglu.
Walau bagaimanapun, asas tarian-tarian ini sama dengan Tarian Zapin Johor disamping mempunyai lenggok gaya tersendiri berdasarkan tempat asal tarian tersebut.
Jika anda hendak tahu, tarian zapin dikatakan mampu mencerminkan peribadi seseorang melalui tariannya.
Sebagai contoh, jika tikar tidak berselerak menunjukkan si lelaki mampu mengawal diri ketika menghadapi masalah.
Manakala bagi si wanita, jika kainnya hanya diangkat sedikit melambangkan bahawa dia pandai menjaga maruah diri.
Tarian zapin warisan Johor ini masih lagi tidak lapuk dek zaman malah ia juga pernah dipersembahkan diperingkat antarabangsa. Malaysia boleh!
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: