Rakyat Malaysia dan makanan segera atau fast food seakan tidak dapat dipisahkan. Berbanding dengan restoran biasa, restoran ataupun gerai makanan segera (fast food) mampu menyediakan makanan dengan segera tanpa perlu untuk menunggu lama.
Kebanyakan restoran dan gerai makanan segera ini mempunyai menu yang hampir sama iaitu burger, hot dog, kentang goreng (french fries), cheese dan bermacam-macam lagi. Menu ini divariasikan mengikut kandungan dan bahan penghasilannya.
Namun, tahukah anda asal-usul nama makanan segera kegemaran ramai ini? Mari penulis kongsikan kepada anda!
1. Asal usul perkataan hot dog

Hot dog ataupun sosej daging merupakan antara produk makanan yang telah lama wujud. Namun, mengapakah masih ada di antara kita yang menggelarkan resipi yang menggunakan sosej dan roti ini sebagai ‘hot dog’? Terdapat dua kisah yang dikatakan menjadi punca nama ‘hot dog’ ini menjadi popular.
Yang pertama adalah kerana bentuk sosej yang panjangnya sama seperti sejenis spesis anjing yang diberi nama Dachshund. Pada awalnya, penjual makanan ini memberi nama sebagai sosej dachshund namun berikutan popularitinya, orang ramai lebih selesa menamakannya sebagai ‘hot dog’ bagi merujuk kepada ‘sosej dachshund’.
2. Asal usul perkataan french fries
Pernakah anda terfikir dari mana asalnya perkataan ataupun isitlah ‘french fries’?
Untuk pengetahuan anda, di Lembah Meuse, Belgium, penduduk di sana sudah terbiasa menanam sumber makanan sendiri semasa musim sejuk, berikutan kemampuan ekonomi yang kurang. Salah satu sumber utama makanan mereka adalah ubi kentang yang akan dipotong secara panjang, dan kemudian akan digoreng. Ubi kentang yang telah digoreng tadi digelar ‘frites’ berdasarkan bahasa Perancis yang merupakan bahasa utama mereka.
Kemudian, populariti bahasa Inggeris memberi nama ‘french cut’ bagi mewakili teknik potongannya. Jadi, kentang ‘frites’ yang perlu dipotong ‘french cut’ mula popular dengan gelaran ‘french frites’ sehinggakan ramai yang beranggapan bahawa makanan itu berasal dari Perancis. Namun, sebenarnya asal usul nama ‘french fries’ datang dari orang Belgium yang bercakap dalam bahasa Perancis.
3. Asal usul perkataan cheese
Terdapat banyak sumber mengenai istilah cheese ataupun keju. Ini kerana, masyarakat masih tidak dapat mencari tahu siapa yang layak digelar sebagai pencipta keju. Walau bagaimanapun, rekod pembuatan keju yang paling awal sudah tercatat lebih 4,000 tahun yang lalu.
Istilah cheese yang kita guna merupakan kata pinjaman istilah Latin caseus sebelum evolusi bahasa menukarkannya kepada beberapa ejaan berbeza mengikut zaman seperti chasi, cese dan cyse. Ejaan tersebut akhirnya diselaraskan menjadi cheese bagi mewakili susu yang telah diperam dan dibentuk menjadi makanan.
4. Asal usul perkataan burger

Asal usul perkataan burger melibatkan sebuah bandar di Jerman yang bernama Hamburg. Masyarakat di sana mempunyai tradisi memasak stik daging yang dikenali sebagai stik Hamburg. Ianya diperbuat dengan daging lembu kisar yang diperap dengan garam, bawang, serta serbuk roti sebelum ianya disalai.
Stik Hamburg dihasilkan agar daging yang telah diperam dapat bertahan dengan lebih lama. Penghijrahan orang Jerman ke Amerika Syarikat sekitar abad ke-19 membuatkan proses penghasilan stik Hamburg mula terkenal.
Pada tahun 1885, seorang peniaga bernama Charles Nagreen di Wisconsin kecewa kerana perniagaan bebola dagingnya gagal kerana kesukaran orang ramai makan sambil berjalan. Disebabkan itu, Charles mengubah resipi mengepitkan daging jualannya dengan roti lalu diberi nama ‘Hamburger’ sempena stik Hamburg yang sangat popular pada ketika itu. Lalu, terhasilnya burger yang kita kenali sekarang. Ianya merupakan makanan yang dicipta agar orang ramai dapat makan sambil berjalan-jalan melihat pertunjukan ekspo.
5. Asal usul perkataan benjo/banjo (burger benjo)

Benjo/banjo atau burger telur merupakan salah satu makan segera yang sangat popular di negara kita. Ianya berkait rapat dengan tentera British pada satu masa dahulu semasa Perang Dunia Kedua. Berikutan situasi perang yang menyukarkan mereka untuk makan, ramai di antara mereka yang memilih untuk menyiapkan satu resipi mudah iaitu telur goreng yang disertakan dengan roti yang disapu marjerin.
Ada di antara mereka yang lebih gemar telur kuning mereka digoreng cair. Jadi apabila menggigitnya, ianya akan menyebabkan telur kuning tersebut terpancut lalu terkena uniform yang dipakai mereka. Semasa mengelap sisa telur di uniform mereka, askar-askar akan mentertawakan mereka seolah-olah sedang bermain alat muzik banjo.
Dari situlah mereka ini mula menggelarkan resipi mudah mereka sebagai ‘egg banjo’ atau ‘banjo telur’. Nama tersebut terus kekal sehingga ke hari ini.
Jadi, yang mana satukah makanan segera kegemaran anda? Kongsikan pendapat atau pengalaman anda di ruangan komen di bawah.
Sumber: Iluminasi