Apa Perlu Anda Tahu Tentang Ibu Kota Baru Indonesia?

Dengan jumlah penduduk berjumlah 273 juta orang penduduk, Indonesia adalah negara keempat paling ramai di dunia. Dan dengan jangkaan mencapai 300 juta penduduk pada tahun 2030, sudah pastinya negara ini perlu merancang strategi.

Daripada angka 273 juta itu, 141 juta orang tinggal di Pulau Jawa, dengan kepadatan yang tinggi. Empat daripada lima kota terbesar di Indonesia; Jakarta, Surabaya, Bandung dan Yogjakarta semuanya berada di pulau ini.

Ini ditambah pula dengan banyak masalah di Jakarta seperti kesesakan lalulintas yang kronik, disamping banjir serta masalah kepadatan yang serius, di bandaraya yang mempunyai penduduk seramai 31 juta orang ini.

Jakarta, ibu negara Indonesia, merupakan bandaraya ketiga terbesar dari segi jumlah penduduk dalam ruang metro di belakang Tokyo dan Shanghai, mengalami kemendapan tanah dan pemerintah Indonesia bimbang masalah bandaraya ini mungkin tenggelam dengan lebih teruk lagi.

Sehubungan dengan itu, mereka merancang untuk memindahkan ibu negara Indonesia supaya pembangunan dapat dibawa keluar dari Pulau Jawa.

Pada Ogos tahun lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo telah merencanakan agar ibu negara baru perlu dibina agar menyelesaikan masalah kesesakan di Jakarta. Jakarta, selain ibu negara yang menempatkan pusat pentadbiran negara, ia juga merupakan pusat ekonomi, dimana pusat perniagaan dan industri berpusat.

Di Jakarta jugalah semua aktiviti dilaksanakan. Malangnya apabila semuanya berpusat di Jakarta, maka kesesakan yang serius disamping masalah-masalah seperti j3nayah, setinggan serta kemiskinan kota tidak dapat diatasi secara tuntas oleh pemerintah.

Perancangan membina ibu negara baru Indonesia bukan perkara baru. Presiden Soekarno juga pernah merancang untuk memindahkan ibu negara ke Palangkaraya di Kalimantan Tengah.

Beberapa orang Presiden juga pernah membincangkan tentang perkara ini, namun semuanya tidak bergerak sehingga Joko Widodo, atau dikenali sebagai Jokowi menggerakkan perkara ini dengan lebih serius.

Selepas menilai beberapa tempat, Jokowi memilih tempat di antara Kabupaten Kutai Kartanegara dan Penajam Paser, iaitu kawasan yang dikenali sebagai Bukit Soeharto.

Saya pernah ke situ pada sekitar 2015, ketika ke Tenggarong, kira-kira 120 kilometer dari Balikpapan. Pada ketika itu jalan untuk ke sana amatlah sukar. Dari Balikpapan nak ke Tenggarong memakan masa hampir empat jam melewati jalan lori balak dan jalan sempit.

Namun apabila Lebuhraya Balikpapan-Samarinda siap nanti, ia dapat menjimatkan masa perjalanan hingga 2 jam sahaja. Dan di antara dua bandar di Kalimantan tersebut, ibu negara Indonesia yang baru akan didirikan.

Kos untuk membina ibu negara ini ialah Rp466 trillion (RM140 billion), termasuklah istana presiden, pejabat kementerian, kedutaan, prasarana dan infrastruktur, perumahan serta sebuah lapangan terbang yang baru.

Menurut Jokowi lagi, selain daripada berfungsi menjadi ibu negara yang baru, kawasan ini juga akan dibangunkan untuk menjadi kawasan seperti Lembah Silikon di San Francisco atau di Shenzhen, untuk penyelidikan dan pembangunan.

Pun begitu, bukan semua yang bersetuju dengan projek ini. Beberapa pengkritik mempertikaikan tentang soal keadaan ekonomi yang semakin melarat, terutamanya kepada penduduk miskin kota, haruslah dibantu dahulu daripada projek mega ini.

Dengan kosnya yang tinggi, pengkritik juga berpendapat ini menyebabkan Indonesia terpaksa menanggung lebih banyak hutang, dan menakutkan lagi sekiranya meminjam dengan China kerana dasar perangkap hutang (debt trap policy) seperti di Sri Lanka dan Pakistan.

Apapun, perpindahan ini dilihat sebagai langkah strategik geopolitik Indonesia, kerana kedudukan tersebut berada di tengah Indonesia, serta berada di laluan Selat Makassar dan Laut Celebes yang merupakan laluan strategik kapal dagang dari ekonomi Asia Timur seperti China, Korea Selatan dan Jepun dengan Australia di selatan.

Dengan memindahkan ibu negara ke Kalimantan Timur, ia dapat mewujudkan semangat keIndonesiaan berbanding sekarang yang terlalu Jawasentrik di Jakarta.

Artikel lain tentang Indonesia: