Populariti Melonjak Naik, Among Us Menghantui Dunia Permainan Video

Among Us adalah sebuah party game permainan ‘indie’ mobil dan Personal Computer (PC) yang kini menjadi hit di seluruh dunia. Permainan ini telah mengalahkan populariti Fall Guys, yang juga berunsurkan party game telah dilancar pada pertengahan tahun 2020.

Among Us asalnya diterbitkan ke Android dan iOS pada Jun 2018 oleh syarikat bebas kecil, Innersloth, yang juga merupakan pemaju permainan interaktif Henry Stickmin yang dikeluarkan pada tahun 2011.

Konsep permainan Among Us adalah sama seperti permainan Werewolf, di mana pemain perlu menyingkirkan serigala dalam kalangan penduduk kampung. Permainan ini juga terinspirasi dari Mafia, party game pada tahun 80-an.

Sumber: cdn substack

Secara ringkasnya, Among Us adalah permainan dalam talian berbilang pemain (multiplayer) yang boleh memuatkan empat hingga sepuluh pemain dalam satu lobi, pelayan awam atau secara privasi. Permainan ini juga terbahagi kepada dua pasukan iaitu Crewmates dan Impostor serta terdapat tiga peta di dalamnya iaitu ‘The Skeld’, ‘Mira HQ’, dan ‘Polus’.

Sumber: cdn.voc-cdn

Tugasan Crewmates dalam permainan adalah untuk menyiapkan tugasan yang diberi sehingga menang, manakala pasukan Impostor pula ditugaskan untuk mensabotaj kumpulan Crewmates dengan membunuh mereka. Pemain yang memainkan watak sebagai Impostor perlu menggunakan tipu helah dengan berpura-pura mereka berada di pihak Crewmates untuk mendapatkan kepercayaan agar tidak diundi keluar. Sekiranya kesemua Impostor diundi keluar, maka automatik pihak lawannya membawa pulang kemenangan.

Dipercayai populariti Among Us bermula di Korea Selatan apabila permainan ini dijumpai oleh salah seorang streamer di sana. Menurut penerbit Among Us, Marcus Bromander, artis dan pereka permainan mereka berasa gembira kerana ia telah membantu mereka meraih populariti di negara itu.

Sumber: static01.nyt

Pada pertengahan tahun 2019, rating Among Us secara tidak langsung telah menginjak naik secara perlahan-lahan apabila seorang Youtuber dari Brazil telah bermain permainan itu dan tindakannya telah diikuti oleh peminat lain untuk turut serta memuat turun permainan tersebut.

Populariti permainan ini tidak terhenti di situ, di mana pada pertengahan bulan Julai tahun ini, seorang ‘Twitch’ streamer terkenal, Sodapoppin’ telah bermain Among Us bersama-sama dengan streamer lain di dalam aplikasi ‘Twitch’.

Penulis:

  • Nur Anis Amni Binti Mohd Adnan adalah pelajar Fakulti FIlem, Teater dan Animasi
  • Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaidi Bin Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Jalinan Industri (ICAN) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi