AirAsia Cadang Tukar Nama, Mahu Beri Indentiti Korporat Baharu

airasia

AirAsia Group Bhd merancang mahu menukar namanya kepada Capital A Bhd. Cadangan ini akan dibentangkan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 27 Januari ini untuk mendapatkan kelulusan para pemegang sahamnya.

Perubahan nama ini bertujuan untuk memberikan identiti korporat baharu yang mencerminkan dengan lebih baik perniagaan teras dan masa depannya.

Ia juga sejajar dengan dengan transformasi pesat syarikat ini sebagai sebuah syarikat penerbangan  penyedia perkhidmatan gaya hidup dan perjalanan digital.

Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, perubahan struktur ini akan membantu memudahkan unjuran pertumbuhan kukuh dalam perniagaan portfolio mereka.

Selepas mempertimbangkan semua aspek cadangan perubahan nama. AirAsia berpandangan bahawa keputusan itu adalah dibuat berdasarkan kepentingan terbaik untuk syarikat.

“Sehubungan itu, lembaga pengarah kami mencadangkan supaya pemegang saham mengundi setuju resolusi khas berhubung cadangan pertukaran nama yang akan dikemukakan pada EGM akan datang,” katanya.

AirAsia berkata, EGM yang dijadualkan pada 27 Januari jam 3 petang itu akan dijalankan secara maya sepenuhnya melalui penstriman langsung daripada platform mesyuarat dalam talian.

Manakala penyertaan pengundian jarak jauh (RPV) akan disediakan oleh Tricor Investor & Issuing House Services Sdn Bhd.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia awal minggu ini, AirAsia berkata cadangan nama Capital A Bhd diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan dikhaskan kepada syarikat itu pada 28 Disember 2021.

“Cadangan itu, jika diluluskan oleh pemegang saham, akan berkuat kuasa dari tarikh pengeluaran Notis Pendaftaran Nama Baharu oleh SSM kepada syarikat,” katanya dalam makluman kepada bursa pada Isnin lepas.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber: