Adakah Deria Rasa Manusia Dipengaruhi Oleh Genetik? Ini Jawapan Pakar

Pernah tertanya kenapa kadang-kadang apa yang orang lain rasa sedap tetapi bila kita rasa tak sedap? Kata pakar, hal ini ada kemungkinannya disebabkan oleh genetik yang anda warisi.

Gambar oleh: Dreamstime

Hasil daripada kajian-kajian keatas kembar seiras dan tinjauan data gen daripada firma genomik peribadi, pakar mendapati bahawa terdapat gen yang mempengaruhi persepsi kita terhadap rasa dan bau. Gen ini juga mempengaruhi ganjaran yang otak berikan untuk sesetengah makanan.

Sebagai contoh, ada sesetengah gen yang anda warisi daripada keluarga akan meningkatkan peluang anda untuk berfikir bahawa ketumbar yang anda makan rasa seperti sabun.

Ada sesetengah gen yang lain pula boleh menentukan sama ada anda boleh merasai kimia pahit phenylthiocarbamide atau tidak. Bahan kimia ini kebanyakannya terdapat dalam makanan seperti kubis, brokoli dan lada.

Genetik mempengaruhi sama ada seseorang dapat merasai kimia pahit di dalam kubis dan brokoli.

Dengan kata lain, ada kemungkinan sebab kawan anda menyukai sayur ini tetapi anda tidak adalah kerana dia tidak mempunyai gen yang membuatkan dia dapat merasai bahan kimia pahit dalam sayur tersebut.

Malah DNA juga mempengaruhi berapa banyak ganjaran yang otak beri untuk sesetengah makanan. Bagi yang ada ketagihan daging (terutama bacon) ia adalah mungkin disebabkan oleh gen CNTN5 yang ada di dalam diri anda.

Jadi apa yang kita makan semua ditentukan genetik?

Tidak semestinya. Memang benar kajian pakar telah menunjukkan bahawa gen-gen yang kita warisi mempengaruhi bagaimana kita merasai sesetengah jenis makanan.

Namun pilihan makanan kita bukanlah sepenuhnya datang daripada gen kita. Terdapat juga faktor lain seperti psikologi dan persekitaran semasa membesar.

Sebagai contoh, walaupun kita semua secara genetik cenderung untuk mencurigai sebatian pahit – kerana ia biasanya toksik kepada manusia – kebanyakan daripada kita belajar untuk bertolak ansur dengannya.

Atau bahkan mungkin sampai tahap suka dan ketagih akan perkara pahit seperti kopi dan coklat. Sebab itu ada kawan-kawan anda yang hantu Starbucks.

Pendek kata, gen kita mungkin mempunyai banyak pengaruh  terhadap diri, namun yang betul-betul membentuk diri dan pilihan kita jauh kebih besar daripada itu.

Apa-apapun lain kali kalau ada kawan anda tanya kenapa tak makan sayur, bolehlah juga nanti untuk anda jawab ‘sebab genetik’.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: