7 Sebab Untuk Patahkan Hujah Penyokong PPSMI

oleh: Eleena M.

Selepas saya menulis beberapa ciapan dalam Twitter tentang kepentingan menggunakan bahasa Melayu sebagai laras bahasa untuk pembelajaran sains dan matematik, saya menerima beberapa pendapat yang tidak bersetuju dengan saya.

Sementara saya mengambil sikap bersetuju untuk tidak bersetuju, saya bertegas bahawa langkah ini hanya menguntungkan segelintir pelajar tetapi mengorbankan ramai pelajar yang lain.

Berikut adalah 7 hujah saya untuk mematahkan hujah bahawa pembelajaran dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ialah perkara yang baik.

1. “Banyak jurnal sains dan matematik ditulis dalam bahasa Inggeris.”

Seringkali hujah yang dikemukakan oleh golongan yang pro Pembelajaran dan Pendidikan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) ialah faktor kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia, serta banyak jurnal yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Sementara perkara ini memang benar, namun hujah itu sebenarnya boleh dipatahkan dengan banyak lagi jurnal dalam sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa lain, terutamanya bahasa Mandarin, Perancis, Jepun dan Jerman.

Bahkan perkataan ‘matematik’ dalam bahasa Jepun ialah “sugaku”, sementara ‘sains’ dalam bahasa Jerman ialah “Naturwissenschaft”.

Walaupun mereka menggunakan bahasa sendiri, ilmu sains dan matematik mereka sentiasa berada di tangga yang teratas di dunia.

2. Bahasa Inggeris juga meminjam perkataan banyak istilah sains dan matematik dari bahasa lain.

Sebelum Eropah menjadi bangsa imperialis yang menjajah dunia, mereka hidup di zaman Gelap dan mempunyai pengetahuan sains dan matematik yang mundur.

Pada ketika itu kesemua ilmu-ilmu ini berada di dunia Islam, seperti di kota Baghdad dan Damsyik.

Bahkan ketika itu, hanya Sepanyol sahaja yang mengalami kemajuan kerana Andalusia pada ketika itu berada dalam jajahan Bani Umayyad.

Ketika Eropah mengalami zaman Renaissance, mereka banyak mencetak buku-buku ilmiah dari Arab dan diterjemah ke bahasa Latin, Greek dan bahasa-bahasa lain di Eropah.

Perkataan yang mereka tidak mampu terjemahkan, mereka pinjam sahaja kosa katanya.

Contohnya, algebra yang berasal dari perkataan Arab iaitu al-jabr.

3. Kebangkitan Asia dan kemerosotan Eropah di abad ke-21

Pada era hari ini, Eropah mengalami kemerosotan terutamanya dalam bidang ekonomi dan tidak lama lagi, negara-negara Asia mampu untuk menyaingi negara Eropah, kalau tak memotongnya.

Dengan kadar kelahiran yang rendah disamping kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah berbanding Asia sejak berakhirnya zaman penjajahan selepas Perang Dunia Kedua, Eropah dilihat semakin merosot pengaruhnya.

Sebaliknya, penemuan sains dan teknologi kini banyak ditemui oleh saintis-saintis Asia seperti dari China, India, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.

Kalau kita mahu bersiap sedia berdepan dengan masa depan, kenapa kita nak merujuk kepada sebuah tamadun yang sedang mengalami kemerosotan?

4. Kejayaan Vietnam dalam bidang sains dan matematik dengan acuan mereka sendiri

Kejayaan Vietnam dalam mencapai kedudukan yang lebih tinggi daripada sesetengah negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat dalam sains dan matematik, haruslah dicontohi.

Vietnam menyedari bahawa dengan mempelajari sains dan matematik dalam bahasa sendiri, ia memudahkan pelajarnya untuk memahami istilah-istilah dalam bahasa tempatan.

5. Kajian mendapati dengan mempelajari sains dan matematik dalam bahasa asing, banyak perkataan yang tidak difahami

Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Balikesir University dan Izmir University of Economics di Turki, mereka membahagikan dua kelompok pelajar sekolah rendah di negara tersebut dan mengajar tentang konsep tenaga dalam sains dalam bahasa Inggeris, dan bahasa Turki.

Kelompok dalam bahasa Inggeris bukan sahaja tidak memahami apa yang diajarkan, bahkan seringkali membuatkan pelajar cepat bosan.

Sementara di kelompok yang diajar dalam bahasa Turki, keputusannya lebih cemerlang dan pelajar lebih mudah untuk memahami istilah-istilah yang dipelajari.

https://www.researchgate.net/publication/26453389_The_effect_of_teaching_in_native_and_foreign_language_on_students’_conceptual_understanding_in_science_courses

6. Tekanan psikologi terhadap pelajar yang mempelajari sains dan matematik dalam bahasa asing

Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Turki juga mendapati para pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa asing lebih tertekan dan mengganggu emosi mereka.

Perkara ini bukan sahaja melibatkan pelajar luar bandar, bahkan perkara ini juga berlaku kepada pelajar-pelajar di bandar-bandar besar seperti Istanbul, Ankara, Busra dan Izmir.

Turki pernah melaksanakan dasar PPSMI di sekolah-sekolah mereka, namun mereka menarik balik selepas mendapati pelajar-pelajar mereka tidak cemerlang seperti pelajar yang mempelajari dalam bahasa Turki.

Pendapat ini juga ditekankan oleh Profesor Fakulti Sains di Jabatan Sains Matematik Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dr Zuhaimy Ismail.

Menurut Prof. Dr Zuhaimy, yang berpengalaman mengajar matematik selama 36 tahun,

 para pelajar tempatan sebenarnya lebih selesa belajar menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris.

Lagipun, bahasa Inggeris boleh diterjemahkan dengan mudah, sekali gus isu penguasaan ilmu matematik dan sains dalam bahasa itu sama sekali tidak timbul.

“Meskipun banyak buku-buku ilmiah sains dan matematik adalah buku dalam bahasa Inggeris tetapi ia boleh diterjemahkan dengan terminalogi yang betul.

“Pengolahan terminologi (istilah) yang baik dan jelas akan menjadikan pemahaman pelajar lebih mantap hingga menguasai ilmu kedua-dua subjek itu dengan baik.”

7. PPSMI hanya berjaya untuk pelajar elit, tetapi tidak untuk pelajar biasa

Menurut Dr Zuhaimy lagi, PPSMI hanya berjaya kepada pelajar-pelajar elit serta mempunyai kelengkapan pembelajaran yang lebih baik berbanding di luar bandar.

Malah menurutnya lagi, banyak kajian yang dijalankan oleh universiti-universiti awam mendapati PPSMI langsung tidak membantu aspek minat para pelajar untuk menguasai matematik dan sains.

Jadi, nak teruskan lagi perkara yang dah gagal ni?

Pelaksanaan PPSMI pada tahun 2009 telah membuktikan bahawa Kementerian Pendidikan gagal menjadikan ia sebagai ‘subject matter’ (perkara pokok), selain ia gagal membantu para pelajar luar bandar menguasai subjek matematik dan sains.

Sebaliknya, kerajaan perlu terus memperkasakan Dual Language Programme (DLP) atau Program Dua Bahasa  untuk matematik dan sains yang sedang dilaksanakan sekarang kerana itu adalah pilihan rakyat.

Situasi ini sama sahaja dengan bangsa-bangsa lain di dunia dalam usaha menguasai ilmu matematik dan sains kerana bukan semua individu boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Contoh klasik adalah Jepun yang berbangga dengan bahasa pengantarnya tetapi mereka berjaya dalam ilmu sains dan teknologi.

Dr Zuhaimy menambah, guru-guru sains dan matematik di negara ini juga masih tidak berada dalam keadaan sedia untuk mengajar subjek tersebut dalam bahasa Inggeris.

Dedah beliau, guru-guru di beberapa sekolah di Melaka didapati  tidak mampu menerangkan konsep pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris dengan baik.

“Ada dalam kalangan mereka silap faham dalam terminologi. Jadi bagaimana hendak mengajar kalau cikgu-cikgu pun tidak bersedia?.

“Kalau PPSMI diteruskan siapa rugi, sudah tentu anak cucu kita nanti,” kata Dr Zuhaimy yang berpendapat pengenalan sesuatu dasar tidak boleh bergantung kepada minat tertentu tetapi memerlukan penilaian dan penelitian secara keseluruhan demi masa depan generasi akan datang.

Eleena M. merupakan penulis thread sejarah makanan popular di Twitter. Dia berkicau di @PopPelangi.