Apabila bercerita mengenai ciptaan manusia yang mengubah dunia, nama-nama pencipta seperti Nicola Tesla dan Alexander Graham Bell kerap menjadi sebutan.
Walau bagaimanapun, terdapat banyak lagi ciptaan lain yang sebenarnya jauh lebih penting tetapi jarang disebutkan kerana fungsinya yang terhad. Namun, kehidupan kita berkemungkinan akan menjadi sukar tanpa ciptaan ini.
Mari penulis kongsikan 6 ciptaan paling penting dan paling ringkas yang jarang kita ketahui sejarah disebaliknya.
1. Bata

Bata yang telah menjadi asas pembinaan kita pada ketika ini merupakan sebuah ciptaan yang sudah hampir 10,000 tahun lamanya. Bata yang paling tua di dunia dikatakan dibuat oleh orang Mesir zaman dahulu, yang membentukkan lumpur dengan tangan kemudian dikeringkan untuk mengeraskannya.
Untuk mengukuhkan struktur bata itu, orang Mesir mencampurkannya dengan jerami untuk memastikan bentuknya tidak merekah.
Campuran tanah dengan unsur-unsur mineral seperti besi mampu untuk menjadikan sesuatu binaan itu lebih kukuh. Penggunaan batu-bata sudah menjadi pilihan kita sejak dari zaman dulu lagi di mana bata mula dibuat dengan campuran konkrit.
2. Tin

Tin merupakan salah satu ciptaan yang paling berguna yang digunakan dalam kehidupan seharian. Kebiasaannya, tin digunakan untuk menyimpan bahan seperti susu sejat, serbuk milo, atau bahan makanan dalam tin.
Idea untuk menyimpan makanan dalam tin supaya makanan tahan lebih lama bermula dari seorang lelaki Perancis bernama Nicola Appert. Pada tahun 1806, dia diupah oleh tentera Perancis untuk mencipta sistem simpanan makanan tentera. Oleh itu, dia menggunakan bekas kaca tertutup untuk tujuan itu. Teknik yang digunakan beliau ini menjadi asas kepada teknik penyimpanan makanan yang digunakan sehingga ke hari ini.
Sementara itu, tin dicipta dan mula digunakan oleh seorang lelaki Inggeris bernama Peter Durand yang menggunakan besi padu untuk mencipta bekasnya. Durand berjaya menggunakan tin kedap udara untuk menyimpan bahan makanan termasuklah daging dengan menggunakan teknik yang diperkenalkan oleh Appert.
Walau bagaimanapun, tin ciptaan Durand ini sangat sukar untuk dibuka. 50 tahun selepas itu, barulah pembuka tin dicipta.
3. Pembaris/Pengukur

Pembaris atau pengukur ini dikatakan dibuat pada tahun 2650BC. Pengukur yang digunakan untuk mendapatkan sesuatu standard unit ukuran ini ditemui di Nippur, salah sebuah bandar lama tamadun Sumeria yang kini terletak di Iraq.
Pengukur yang diperbuat daripada gading gajah turut ditemui di kawasan Tamadun Indus, dipercayai digunakan sekitar tahun 1500BC.
Masyarakat zaman dahulu menggunakan unit ciptaan mereka sendiri yang ditandakan pada pengukur tersebut.
4. Lilin

Lilin merupakan kesinambungan ciptaan awal manusia yang berasal daripada lampu minyak. Sumbu akan diletakkan di dalam bekas berisi minyak untuk membolehkan api dinyalakan. Walau bagaimanapun, ianya bahaya serta kerap tertumpah kerana sumbu perlu diubah dengan tangan setiap kali hampir terpadam.
Orang Rom merupakan masyarakat pertama yang menggunakan lemak haiwan yang dikeraskan untuk sumber bahan bakar pada tahun 500BC.
Sumbu yang sebelum ini ditakungkan ke dalam minyak, mula diletakkan dalam lemak berbentuk pepejal serta mampu dibakar dengan lebih mudah.
5. Penyedut minuman

Untuk pengetahuan, penyedut minuman yang pertama di dunia dipercayai digunakan semasa Tamadun Sumeria pada 3000BC.
Penyedut minuman yang tertua di dunia pula ditemui di satu kubur orang Sumeria, yang diperbuat daripada emas.
Hasil penciptaan plastik pada tahun 1907 oleh Leo Baekeland membolehkan penyedut minuman mula dicipta menggunakan bahan seperti rumput, kerana ianya lebih murah dan lebih tahan lama untuk digunakan.
6. Butang baju

Butang paling tua di dunia ditemui hasil daripada tinggalan Tamadun Indus yang terletak di bahagian Asia Selatan. Ianya dianggarkan berusia 5000 tahun.
Butang pada zaman ini kebiasaannya digunakan sebagai perhiasan dan bukan untuk mencantumkan dua helai fabrik.
Dengan menggunakan kulit kerang, kulit tersebut akan ditebuk lubang di bahagian permukaannya untuk membolehkan tali dimasukkan. Tali itu kemudiannya akan dipasangkan pada fabrik atau kulit untuk mengetatkannya.
Itulah adalah antara 6 ciptaan terpenting manusia yang jarang diperkatakan.