5 Pemimpin Tinggi Dunia Yang Ingkar Arahan Perintah Kawalan Pergerakan

Perintah Kawalan Pergerakan yang dijalankan di seluruh dunia merupakan antara salah satu langkah untuk mencegah penularan wabak COVID-19. Perhimpunan ramai, aktiviti awam, upacara kegamaan adalah tidak dibernarkan demi untuk menjaga kesihatan orang ramai.

Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir masyarakat termasuklah daripada kalangan pemimpin negara yang melanggar arahan ini dengan sebab-sebab yang remeh.

Kejadian ini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja malah di seluruh dunia. Kami kongsikan kepada anda 5 pemimpin yang melanggar arahan perintah kawalan pergerakan.

1. Patrick Brown – Kanada

Patrick Brown yang merupakan seorang Datuk Bandar Brampton, sebuah bandar pinggir di Greater Toronto telah meluluskan undang-undang kecil iaitu mewajibkan pemakaian pelitup muka dan mengenakan denda yang tinggi bagi sesiapa yang melanggar perintah ini.

Walau bagaimanapun, 8 Ogos 2020 Patrick dilihat muncul di arena hoki di Brampton tanpa memakai pelitup muka dan membawa beg hoki yang tertulis namanya.

Patrick bagaimanapun mendakwa bahawa beliau hanya memeriksa arena tersebut. Beliau kemudiannya bergegas semula ke kereta dan memecut laju tanpa menjawab soalan wartawan.

Selepas kejadian itu, Patrick telah memuat naik ciapan di Twitter mengatakan bahawa beliau telah menjadi mangsa berita palsu. Pada masa yang sama, undang-undang kecil Brampton dikemaskini semula bagi membenarkan perlawanan hoki sedangkan sebelum ini ia telah dilarang.

Orang ramai meminta siasatan etika dilakukan terhadap Patrick, namun tiada satu pun siasatan yang dilakukan secara rasmi.

2. Justin Trudeau – Kanada

Pada awal April 2020, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau meminta orang ramai untuk tidak berjumpa dengan keluarga mereka semasa cuti Easter.

Walau bagaimanapun, beliau sendiri tidak mematuhi arahan yang dikeluarkannya.

Pada sambutan Easter 2020, Justin memutuskan untuk meninggalkan rumahnya di Ottawa untuk pergi ke rumah percutiannya di Tasik Harrington, Quebec walaupun pada ketika itu perjalanan yang tidak penting adalah tidak dibenarkan.

Justin bagaimanapun enggan memohon maaf dan menegaskan bahawa perjalanan tersebut adalah untuk kebaikan anak-anaknya.

Justin juga mendakwa bahawa dirinya adalah pekerja penting kerana memgang jawatan sebagai Perdana Menteri.

3. Doug Ford – Kanada

Doug Fourd merupakan pemimpin wilayah Ontario di Kanada. Beliau dilihat sebagai seorang yang tegas dengan arahan penjarakan sosial.

Beliau telah bertindak untuk mengharamkan perjumpaan tertutup yang melibatkan lebih daripada lima orang.

Walau bagaimanapun, pada 11 Mei 2020, beliau mengaku bahawa dia dan isteri telah mengadakan perjumpaan keluarga di rumah mereka yang melebihi had perjumpaan tertutup.

Doug bagaimanapun menegaskan bahawa penjarakan sosial masih tetap dikekalkan setiap masa ketika perjumpaan tersebut dilakukan.

Dalam pada itu, Doug masih tidak mengubah pendiriannya tentang penjarakan sosial.

Dalam sebuah sidang media, Doug didapati telah menggunakan nama-nama ejekan yang tidak sesuai bagi melabel mereka yang mengunjungi ahli keluarga, walaupun beliau turut melakukan kesalahan yang sama.

4. Dominic Cummings – United Kingdom

Penasihat kanan Perdana Menteri United Kingdom, Dominic Cummings telah melakukan perjalanan jarak jauh sejauh 420 kilometer untuk menghantar anak beliau ke rumah ibu bapanya selepas isterinya menunjukkan gejala COVID-19.

Sebelum ini, peraturan perintah kawalan pergerakan di UK menyatakan bahawa seseorang itu tidak dibenarkan berjumpa dengan individu lain di luar rumah mereka. Sekiranya salah seorang daripada isi rumah menunjukkan gejala COVID-19, individu itu perlu mengasingkan diri untuk tempoh 14 hari.

Apabila perkara ini diketahui orang awam, rakyat UK meminta agar Dominic meletakkan jawatan.

Walaupun tujuan Dominic adalah untuk melindungi anaknya daripada virus ini, namun kerajaannya sendiri telah menyusahkan ibu bapa lain yang turut berada dalam situasi yang sama ketika perintah berkurung dilakukan.

5. Alexander Van der Bellen – Austria

Austria adalah negara kedua yang mengenakan perintah berkurung selepas Itali akibat penularan wabak COVID-19. Austria merupakan antara negara Eropah pertama yang mengangkat sekatan ini dengan membenarkan pembukaan semula restoran, perniagaan kecil dan taman-taman tetapi terhad sehingga 11 malam sahaja.

Namun, pada 23 Mei 2020, ketika Presiden Austria iaitu Alexander Van der Bellen dan isterinya keluar makan di sebuah restoran di Vienna, mereka masih tidak pulang walaupun setelah 11 malam.

Perbuatan mereka itu terpaksa ditegur oleh pihak polis agar meninggalkan tempat berkenaan.

Walau bagaimanapun, Alexander telah memohon maaf atas kesalahan tersebut dan bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya itu. Beliau juga akan membayar denda yang dikenakan oleh pemilik restoran tersebut.