Pencetakan wang secara berleluasa, pinjaman wang dan pelbagai faktor lain merupakan kesan terhadap kejatuhan mata wang pada negara masing-masing. Tahukah anda, Tanah Melayu juga pernah menghadapi krisis hiperinflasi yang teruk ketika Perang Dunia ke-2? Namun begitu, sebenarnya ada kes hiperinflasi yang lebih teruk dari kisah hiperinflasi di Tanah Melayu.
Ini kami kongsikan lima buah negara yang mengalami hiperinflasi yang paling teruk dalam sejarah dunia:
- Yunani (Greece), 1944

Hiperinflasi telah terjadi kepada Greece pada era Perang Dunia Ke-2, 1944 sehingga inflasi mencecah 18 peratus sehari. Dipercayai hiperinflasi yang berlaku di Greece terjadi pada waktu yang sama dengan hiperinflasi yang berlaku di Tanah Melayu.
Hiperinflasi yang mulanya dicetuskan oleh kelembapan perdagangan diburukkan lagi dengan pencerobohan Kuasa Paksi terhadap Greece, kerana mereka dipaksa untuk membiayai 400 ribu askar penceroboh.
Aktiviti ekonomi mereka turut merudum menyebabkan kerajaan tiada sumber pendapatan dan mula mencetak wang dengan agresif. Pada bulan November 1944, inflasi mencecah sehingga 13,800 peratus yang mana akhirnya, negara Greece berjaya pulih dengan merombak semula perbelanjaan kerajaan dan memperkenalkan matawang baru.
2. Republik Weimar (Weimar) – Jerman, 1923

Seperti yang anda ingin tahu, republik ini tidak lagi wujud selepas tahun 1933 yang mana kini tinggal hanyalah sebuah bandar di Jerman yang bernama Weimar. Keadaan ekonomi pasca-perang di Weimar menjadi amat getir yang berpunca dari beberapa faktor iaitu paksaan untuk membayar kos pembaikian oleh negara Bersekutu, sekatan ekonomi oleh Perancis dan Belgium, serta pencetakan wang secara berleluasa.
Republik Weimar juga tidak dibenarkan untuk menggunakan matawang sendiri untuk membayar kos membaik pulih kerana nilainya telah jatuh teruk di mana mereka akhirnya terpaksa menjual matawang sendiri dengan banyak sekali gus menyebabkan nilainya semakin jatuh.
Malahan pada kemuncak krisis, harga barang telah naik sebanyak 21 peratus sehari dan setinggi 29,500 peratus sebulan. Harga barang kemudiannya mula menjadi stabil selepas matawang baru diperkenalkan dan pemiutang-pemiutang Jerman setuju untuk merunding semula pelan pembayaran hutang.
3. Yugoslavia, 1994

Yugoslavia atau Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia merupakan satu lagi wilayah yang wujud ketika separuh Perang Dunia Ke-2. Difahamkan ia berpecah akibat pembubaran beberapa buah negara iaitu Serbia dan Montenegro, Slovenia, Croatia, Bosnia dan Herzegovina serta Macedonia.
Antara faktor perpecahan mereka termasuklah kejatuhan Kesatuan Soviet (Soviet Union), ketidakstabilan politik serantau, dan semangat perkauman yang mencetuskan perang saudara yang berlarutan. Punca tersebut telah menjejaskan aktiviti ekonomi yang membuatkan kerajaan mula mencetak wang untuk menampung kos perbelanjaan. Malangnya perbelanjaan yang tidak terkawal, tidak efisyen, serta penuh korupsi menyebabkan masalah ekonomi menjadi lebih teruk.
Berikutan konflik tersebut, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengenakan sekatan ekonomi terhadap Yugoslavia. Harga barang pula dianggarkan naik sebanyak 65 peratus setiap hari menyebabkan harga berganda setiap dua hari manakala rekod mencatatkan Inflasi bulanan paling teruk pernah mencapai 313,000,000 peratus.
4. Zimbabwe, 2008

Hiperinflasi telah berlaku di Zimbabwe pada tahun 2008 di mana setiap hari harga barang akan naik sekali ganda kerana inflasi mencecah 98 peratus sehari. Tindakan kerajaan melancarkan program merombak semula hakmilik tanah dan merampas tanah dari penduduk Zimbabwe berkulit putih menyebabkan sektor perladangan turut menjadi perlahan dan menjejaskan ekonomi.
Keadaan menjadi buruk apabila Presiden Robert Mugabe, presiden ketika itu, telah mencetak wang untuk membayar hutang Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), gaji pekerja dan membiayai peperangan di Congo. Hiperinflasi yang mencecah setinggi 79,000,000,000 peratus pada bulan November 2008 akhirnya tamat setelah Zimbabwe dollar sudah tidak mempunyai nilai yang akhirnya digantikan dengan Dolar AS dan Rand Afrika Selatan.
5. Hungary, 1946

Peperangan menyebabkan Hungary membuat banyak pinjaman untuk membantu sekutunya iaitu Jerman, malangnya, kekalahan Jerman menyebabkan hutang tersebut tidak dapat dibayar kembali kepada Hungary. Bahkan Hungary juga dipaksa untuk membayar kos membaik pulih kepada Soviet menyebabkan mereka mencetak wang secara agresif tanpa mengendahkan kesannya terhadap ekonomi.
Kejutan bekalan (supply shock) telah terjadi kepada infrastruktur seperti kerosakan bangunan, rel kereta api dan jalanraya menyebabkan mereka kekurangan bekalan turut sama terkesan kepada harga barangan yang semakin meningkat laju.
Pada tahun 1946, inflasi paling teruk pernah direkodkan mencapai setinggi 13,600,000,000,000,000 peratus di mana setiap 16 jam, harga barang naik sekali ganda. Akhirnya, kerajaan mengambil langkah untuk menstabilkan matawang dengan merombak sistem cukai, membawa pulang simpanan emas dari negara lain dan memperkenalkan matawang baru yang nilainya disokong oleh emas.
Ini hanyalah pendapat dan kajian yang dilakukan oleh penulis sahaja.
Untuk membaca artikel berkaitan, klik pada pautan di bawah: