5 Maksud Sebenar Jenama Terkenal Dari Jepun Yang Ramai Orang Tidak Tahu

Jenama dari Jepun sering menjadi sebutan dan cukup terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, ramai orang tidak tahu makna sebenar dan kisah menarik di sebalik jenama terkenal ini.

Kami kongsikan lima jenama Jepun yang terkenal di Malaysia dan makna-makna di sebalik jenama-jenama itu dalam artikel ini.

1. Kao

Sumber: Kao

Sudah lama bertapak di Malaysia, Kao merupakan sebuah syarikat yang menghasilkan banyak produk untuk kegunaan masyarakat tempatan.

Untuk pengetahuan anda, nama kao yang digunakan membawa maksud muka dalam bahasa Jepun. Atas sebab itu, Kao menggunakan logo bulan yang mempunyai wajah padanya sebagai simbol syarikat mereka.

2. Uniqlo

Sumber: Line Today dan Fortune India

Asia One melaporkan Hitoshi Yanai telah membuka sebuah kedai pakaian lelaki yang dikenali sebagai Ogori Shoji pada tahun 1949. Kedai-kedai lain kemudiannya mengikut jejak keluarga Yanai dan perniagaan itu berkembang sehingga Hitoshi berasa cukup yakin untuk menubuhkan Ogori Shoji Co. Ltd pada tahun 1963.

Pengasas Uniqlo iaitu Tadashi Yanai kemudiannya mewarisi dan memperkembangkan perniagaan bapanya dengan membuka sebuah kedai pakaian kasual uniseks bernama Unique Clothing Warehouse di Hiroshima, Jepun pada tahun 1984.

Ketika dalam proses untuk mendaftarkan syarikat sebagai Uni-Clo di Hong Kong pada tahun 1988, terdapat kesilapan semasa pendaftaran yang menukarkan nama perniagaannya sebagai Uniqlo.

Tertarik dengan nama baharu itu, Tadashi kemudiannya ubah nama semua kedai Unique Clothing Warehouse itu ke Uniqlo di seluruh Jepun.

3. Nintendo

Menurut Tsunagu Japan, Nintendo merupakan sebuah syarikat yang menghasilkan kad permainan dan hanafuda ketika ia ditubuhkan pada tahun 1889.

Nintendo dipercayai berasal daripada pepatah Cina yang membawa maksud, “Buat sehabis baik yang anda boleh dan serahkan selebihnya kepada Tuhan.”

4. Studio Ghibli

Sumber: Timeout

Studio Ghibli merupakan satu nama yang tidak asing lagi buat penggemar filem animasi Jepun. Tiga pengasas Studio Ghibli iaitu Hayao Miyazaki, Isao Takahata dan Toshio Suzuki telah menubuhkan syarikat ini pada tahun 1985.

Berbeza dengan studio animasi lain pada zaman itu, Studio Ghibli tidak mementingkan kejayaan komersial di pasaran antarabangsa pada awal penubuhannya.

Mereka hanya mahu menggunakan seni sebagai medium untuk menerokai pengalaman manusia dengan lebih mendalam dan berkongsi kisah-kisah yang puitis dan menyentuh hati.

Berdasarkan laporan My Modern Met, ghibli merujuk kepada angin panas Sahara dalam bahasa Itali dan Arab-Libya. Miyazaki memilih nama ini kerana mahu Studio Ghibli meniup angin baharu menerusi industri animasi Jepun.

5. Yonex

Sumber: Iluminasi

Diasaskan oleh Minoru Yoneyama, Yonex bermula sebagai sebuah syarikat pertukangan kayu yang memfokuskan kepada penghasilan peralatan memancing dengan nama Yoneyama Company pada tahun 1946.

Pada tahun 1957, Yoneyama Company kemudiannya menghasilkan raket badminton sebagai pengilang peralatan tulen (OEM) untuk jenama Sanbata.

Selepas Sanbata bankrap pada tahun 1961 dan kilang pembuatan raket mereka di Niigata terbakar pada tahun 1963, Minoru menubuhkan Yoneyama Sports Co. Ltd untuk menghasilkan raket jenama Yoneyama dan membina semula kilangnya dalam masa tiga hari untuk memenuhi permintaan di pasaran antarabangsa.

Yonex kini menghasilkan kayu golf, papan luncur salji, basikal jalan raya, raket dan tali tenis serta badminton.

Apa jenama Jepun kegemaran anda daripada semua yang tersenarai dalam artikel ini?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: