5 Jenis Wang Yang Pernah Digunakan Dalam Sejarah

Sistem barter merupakan satu sistem jual beli yang digunakan sebelum wujudnya mata wang. Dalam sistem barter, satu pihak yang mahu mendapatkan sesuatu barangan haruslah menyerahkan satu barangan miliknya kepada penjual sebagai simbolik pertukaran.

Dalam perkara ini, si penjual dan si pembeli mestilah bersetuju dengan jenis atau kuantiti barang yang ditukar.

Selepas zaman peredaran berlaku, kewujudan matawang melihatkan sistem barter semakin kebelakang dan tidak relevan untuk digunakan lagi.

Pada era moden ini, wang kertas dan syiling merupakan mata wang rasmi untuk urusan jual beli. Cuma nilai sesebuah mata wang itu menjadi perbezaan, ada nilainya tinggi dan ada nilainya rendah.

Terdapat beberapa jenis mata wang yang digunakan oleh masyarakat terdahulu sebelum wujudnya mata wang kertas dan juga syiling. Jenis-jenis wang itu adalah:

1. Batu Rai

Wang ini digunakan di Pulau Yap yang terletak di timur Filipina. Penduduk setempat di situ menggunakan Rai iaitu sejenis wang yang diperbuat daripada batu kapur besar dan ia berbentuk seperti cincin. Berat wang itu boleh mencecah hingga 7 tan dan kebiasannya wang ini akan digunakan untuk membeli sesuatu yang besar seperti pembelian tanah.

Wang ini kebiasaannya tidak diubah kedudukannya kerana beratnya yang menyukarkan ia untuk dialih. Malah, orang-orang kaya kebiasaannya meletakkan Rai dihadapan rumah mereka sebagai sebuah simbol kekayaan dan penduduk di situ selalunya sudah mengetahui siapakah pemilik Rai itu.

2. Keju

Seperti yang diketahui ketika ini keju sering digunakan sebagai penambah perasa dalam sesuatu hidangan. Rasanya yang berlemak antara sebab ia sesuai digunakan sebagai penambah rasa dalam makanan dan menjadikan makanan itu lebih sedap.

Apa yang menariknya, suatu ketika dahulu keju pernah dijadikan sebagai wang. Pada waktu itu, sebuah bank di Itali iaitu Credito Emiliano pernah menerima keju Parmigiano-Reggiano sebagai barang cagaran bagi memohon pinjaman kewangan.

Setiap bulatan besar keju mempunyai nombor siri khas dan dan pihak bank akan memegang keju itu sehingga maksimum 34 bulan. Setiap keju ini bernilai kira-kira $340 dan bank ini mempunyai tempat penyimpanan keju yang mampu menyimpan sehingga 17,000 tan keju.

3. Daun Teh

Seperti yang kita ketahui, negara China sememangnya terkenal dengan budaya meminum teh. Oleh itu, di bahagian pergunungan China dan Tibet dahulu pernah menggunakan daun teh sebagai matawang sehingga tahun 1935.

Daun teh itu dimampatkan untuk menjadikan ia berbentuk batu-bata. Daun teh dijadikan matawang kerana memandangkan ia boleh dikeringkan dan tahan lama serta tidak mudah rosak. Daun teh juga ringan untuk dibawa dan memudahkan penduduk setempat.

4. Biji Koko

Biji koko juga pernah menjadi mata wang bagi penduduk di Amerika Tengah pada suatu ketika dahulu. Pada mulanya ia digunakan oleh orang Maya sebagai bahan tukaran dalam sistem barter untuk dapatkan barangan keperluan harian.

Apabila Sepanyol menguasai sebahagian besar kawasan Amerika Tengah pada era tahun 1500-an, biji koko telah diperkenalkan ke seluruh dunia dan dieksport secara meluas. Disebabkan jumlah biji koko menjadi terhad, maka ia semakain sukar untuk didapati dan seterunya menyebabkan nilainya melonjak naik.

5. Kulit Tupai

Penggunaan kulit tupai sebagai mata wang berlaku di Russia pada suatu ketika dahulu. Ia digunakan secara menyeluruh untuk urusan jual beli. Malah, bahagian kuku dan telinganya juga digunakan sebagai tukaran wang kecil.

Sumber: Iluminasi