Apabila menginjak dewasa, pergaulan antara lelaki dan wanita dalam hal seharian memang tidak boleh dielakkan terutama yang melibatkan kerja.
Namun pertemuan dan urusan ini jika tidak dikawal boleh menimbulkan perasaan suka sama suka walaupun diri telah mempunyai pasangan di rumah yakni telah berkahwin.
Seringkali kita mendengar kisah bagaimana rakan di tempat kerja akan menjadi perampas atau pengacau sesebuah rumah tangga sehinggakan rumah tangga itu retak dan berakhir dengan penceraian.
Kemungkinan kenapa hal ini terus berlaku adalah mungkin kerana ramai dalam masyarakat Muslim tidak menyedari bahawa mengacau pasangan orang boleh dikenakan hukuman.
Artikel ini akan mengongsikan lima jenis jenayah berbeza yang seorang ‘pengacau’ rumah tangga orang dan apa hukuman yang dikenakan kepada mereka atas jenayah tersebut.
1. Jenayah Melarikan Isteri Orang

Ada jenis orang yang walaupun tahu si gadis itu telah pun mempunyai suami, namun dia tetap ingin memilikinya sehinggakan dia memutuskan untuk membawa lari si wanita itu pergi.
Dalam kes ini tidak tahu ingin salahkan siapa sebenarnya? Lelaki yang menggoda atau pun si isteri yang mudah saja terpesona walaupun tahu dirinya sudah sah dimiliki orang lain.
Untuk sesiapa sahaja yang disabit kesalahan membawa lari isteri orang ini mereka akan dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara 3 tahun atau 6 kali sebatan atau mana-mana gabungan denda yang di bawah Seksyen 44.
Untuk wanita yang dibawa lari itu pula, mahkamah boleh arahkan untuk segera dipulangkan kepada suami.
2. Jenayah Bersedia Untuk Hubungan Intim Dengan Pasangan Orang

Dalam hukum Hudud, kita tahu yang sesiapa sahaja yang ditangkap melakukan hubungan luar nikah dapat dihukum, malah hukuman sangat berat akan dikenakan jika pasangan itu telah berkahwin.
Tapi terdapat juga hukuman yang akan dikenakan sekiranya pasangan itu ditangkap walaupun belum melakukan hubungan intim.
Contoh situasinya ialah, pasangan ini telah pergi membeli kondom di kedai kemudiannya telah menempah hotel. Namun belum sempat memasuki hotel, mereka ditangkap oleh pegawai jabatan agama.
Jika sabit kesalahan, mereka ini juga layak dikenakan hukuman seperti di atas, di bawah Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.
3. Jenayah Muncikari

Apa muncikari?
Maksud muncikari, ialah tindakan seorang individu yang menjadi orang tengah di antara seorang lelaki dan perempuan lain. Kerjanya melancarkan dan memudahkan pasangan itu melakukan hal yang melanggar hukum syarak.
Contoh muncikari ini ialah apabila seseorang individu memudahkan untuk seorang lelaki berkhalwat dengan isteri orang yang sudah pun berkahwin. Membenarkan lelaki lain dengan isteri sendiri juga dikira sebagai kesalahan muncikari.
Seorang individu yang disabit kesalahan muncikari boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara 3 tahun atau enam kali sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman di bawah Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.
4. Jenayah Sengaja Mengacau Rumah Tangga Orang
Ada sesetengah manusia memang suka untuk melihat rumah tangga orang hancur. Pantang saja melihat orang lain bahagia dia akan pantas mengatur strategi supaya mereka tidak gembira.
Contoh perbuatan orang yang sengaja mengacau rumah tangga orang ini ialah seperti sentiasa melaporkan dan mengatakan keburukan isteri kepada suami dengan niat supaya suami itu membenci pasangannya.
Walaupun tidak melibatkan curang ataupun hubungan luar nikah, kesalahan mengacau rumah tangga orang ini juga boleh dikenakan hukuman.
Jika sabit kesalahan, individu ini boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, iaitu denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
5. Jenayah Menghasut Orang Lain Bercerai

Lebih kurang kesalahan mengganggu rumah tangga orang, menghasut seseorang untuk bercerai atau mengabaikan tanggungjawab sebagai suami juga boleh dikenakan hukuman.
Seseorang yang menghasut, memujuk atau memaksa mana-mana pihak untuk bercerai atau mengabaikan tanggungjawab boleh disabitkan di kesalahan dengan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Cabaran Hidup Berumah Tangga
Dalam menjalani kehidupan berumah tangga, pasti akan ada cabarannya. Dan salah satu cabaran itu datang dalam bentuk orang ketiga yang berniat jahat untuk porak perandakan rumah tangga itu.
Untuk melawan masalah ini, sudah mesti hal yang pertama sekali ialah dengan ilmu. Dengan mengetahui dan memahami tanggungjawab diri sudah semestinya diri akan semakin sukar untuk diri tergoda dengan hasutan-hasutan pihak ketiga ini.
Untuk baca artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: