5 Filem Bualan Ramai Ini Hanya Dibintangi Seorang Pelakon

Tahukah anda bahawa beberapa buah filem ini mempunyai jalan cerita yang cukup kuat untuk didukung seorang pelakon sahaja? Dalam erti kata lain, kejayaan atau kegagalan filem berkenaan bergantung sepenuhnya kepada pelakon tersebut.

Walaupun tidak banyak produser yang sanggup mengambil risiko, namun terdapat juga segelintir daripada mereka yang berani mencuba dan memperoleh hasil unik yang membuatkan para penonton teruja.

Kami kongsikan lima filem bualan ramai yang hanya dibintangi oleh seorang pelakon:

1. Secret Honor (1984)

Pelakon veteran, Philip Baker Hall memainkan watak sebagai Richard Nixon iaitu bekas presiden Amerika Syarikat yang mengalami tekanan hidup selepas kejatuhan beliau berpunca daripada skandal Watergate yang melanda negara tersebut.

Skandal Watergate itu menjadi fokus utama Secret Honor yang memaparkan perubahan tahap psikologi watak Richard. Beliau gemar membincangkan pelbagai kejadian dan cuba mencari jalan keluar daripada pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya.

2. Nightingale (2014)

Peter Snowden (David Oyelowo) mula berhadapan dengan realiti selepas mengambil nyawa ibunya sendiri. Peter cuba memulakan kehidupannya seperti biasa tetapi gagal.

Lelaki itu akhirnya membuat keputusan untuk merakamkan semua yang terlintas di fikirannya dalam sebuah video untuk tontonan para pengikut laman media sosialnya.

Fokus utama Nightingale adalah pada hubungan teknologi dan interaksi antara Peter bersama pengikutnya setiap kali dia membuat siaran langsung.

3. All Is Lost (2013)

Robert Redford memainkan watak sebagai seorang lelaki tidak bernama yang terdampar di sebuah lautan selepas terlibat dalam sebuah kemalangan yang melibatkan kapal yang dinaikinya.

Lelaki itu cuba untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu sepanjang filem ini untuk terus kekal hidup dan belajar menangani pelbagai musibah yang menimpa dirinya.

4. Buried (2010)

Ryan Reynolds memainkan watak sebagai Paul Conroy dalam filem ini. Paul dijadikan tebusan, dikurung dalam sebuah keranda dengan hanya bertemankan sebuah pemetik api dan telefon selepas ditangkap kumpulan pengganas di Iraq.

Paul terus berkomunikasi dengan banyak pihak termasuk kumpulan pengganas yang menanam dirinya sepanjang filem tersebut. Keranda yang menempatkan dirinya pecah menyebabkan pasir mula memenuhi ruangan secara perlahan-lahan.

5. Locke (2013)

Tom Hardy memainkan watak sebagai Ivan Locke yang hanya duduk memandu sebuah BMW X5 sambil berinteraksi dengan watak-watak lain melalui telefon ketika dalam perjalanan dari Birmingham ke London.

Dalam perjalanannya ke London untuk menemani teman wanitanya melahirkan cahaya mata mereka, Ivan perlu menghadapi pelbagai situasi melibatkan kerjaya, isu peribadi dan masa hadapan kedua-dua keluarganya.

Pada pendapat anda, lakonan pelakon manakah yang paling meyakinkan sebagai seorang penonton?

Sumber: