Anda pasti pernah mendengar atau terbaca tentang betapa hebatnya bekerja di syarikat teknologi Google.
Tambahan pula, syarikat induk Google yang bernama Alphabet adalah salah satu daripada empat syarikat paling bernilai di dunia.
Google menerima jutaan permohonan setiap tahun disebabkan persekitaran hebat, gaji lumayan dan pengalaman luar biasa.
Namun, hanya segelintir sahaja yang diterima berkerja di situ dan tidak semuanya di syarikat tersebut sehebat seperti yang disangkakan.
Berikut kami kongsikan beberapa fakta yang bakal mengejutkan anda mengenai budaya kerja di Google.
1. Soalan temuduga yang pelik

Google turut terkenal dengan sentiasa memberikan soalan temuduga yang pelik kepada calon yang terpilih.
Antara soalan pelik yang pernah diajukan Google adalah seperti berikut:
“Berapakah jumlah bola tenis yang boleh dimuatkan dalam sebuah kapal terbang?”
“Berapakah jumlah buku yang diterbitkan di Amerika setiap tahun?”
“Mengapakah lurang (manhole) di jalanraya berbentuk bulat?”
“Berapa orangkah yang memotong rambut di Amerika setiap tahun?”
2. ‘Google 15’ dalam tahun pertama

Setiap pekerja akan menerima tiga hidangan percuma setiap hari. Buah-buahan dan makanan ringan juga disediakan sepanjang hari.
Ini menyebabkan kebanyakan pekerja di Google akan bertambah berat badan sebanyak 15 paun (6.8kg) pada tahun pertama bekerja.
Budaya ini dikenali sebagai ‘Google 15’.
Khabar angin ada menyatakan bahawa Google menawarkan makanan yang banyak kerana pengasasnya, Serge Brin mahukan setiap pekerjanya sentiasa berada dalam lingkungan 50 meter dari makanan.
3. Tiada lagi ‘Masa 20%’

‘Masa 20%’ merupakan kebebasan diberikan Google kepada pekerja bagi membangunkan projek sendiri selain kerja utama.
Sebagai contoh, empat hari untuk kerja utama dan satu hari untuk projek sendiri.
Perkhidmatan Google seperti AdSense, Gmail dan Google News dibangunkan oleh pekerja yang menggunakan ‘Masa 20%’.
Walau bagaimanapun, kelebihan ini mengecewakan ramai pekerja baru.
Secara teknikalnya, ia masih wujud tetapi hanyalah di atas kertas.
Sudah bertahun lamanya, pekerja tidak dapat menikmati kelebihan itu dan mendakwa bahawa ‘Masa 20%’ itu hanya wujud dalam 120% dari masa bekerja.
Ia bermakna pekerja perlu menjalankan projek sendiri pada waktu cuti.
4. Pelbagai gelaran pelik

Setiap pekerja di syarikat teknologi ini dikenal pasti dengan pelbagai nama gelaran pelik.
Berikut adalah antara gelaran pelik yang diberi Google:
‘Googler’ iaitu gelaran bagi setiap pekerja Google.
‘Noogler’ (Newgler) – Gelaran bagi pekerja baharu dan perlu memakai topi pelangi Google.
‘Gaygler’ – Gelaran pekerja LGBT atau yang menyokong gerakan tersebut.
‘Greygler’ – Gelaran pekerja berusia 40 tahun ke atas.
‘Doogler’ – Gelaran anjing pekerja atau pekerja yang memiliki anjing.
‘Brewgler’ – Gelaran pekerja yang gemarkan minuman bir.
‘Xoogler’ (Zoogler) – Gelaran yang diberikan kepada bekas pekerja Google.
5. Layanan buruk

Google terkenal dengan kecantikan pejabatnya, makanan percuma dan gaji yang lumayan.
Di sebalik kemegahan itu, tidak semuanya indah terutamanya jika anda seorang pekerja sementara atau kontrak di syarikat teknologi itu.
Sehingga Mei 2020, terdapat seramai 123,000 pekerja tetap dan 130,000 pekerja sementara/kontrak yang bekerja di Google.
Ada yang mendakwa bahawa layanan yang diterima pekerja sementara/kontrak adalah berbeza berbanding pekerja tetap walaupun melakukan kerja yang sama sepenuh masa.
Gaji dan faedah yang diterima mereka adalah lebih rendah berbanding pekerja tetap. Pekerja sementara/kontrak juga perlu bekerja lebih masa tanpa bayaran.
Mereka turut tidak boleh menyertai mesyuarat syarikat, menghadiri jamuan atau memohon kerja sebagai pekerja tetap di Google.
Selain itu, mereka juga tidak boleh menggelarkan diri mereka sebagai ‘Googler’ dan boleh dipecat tanpa sebarang penjelasan munasabah.
Jadi, dengan fakta-fakta ini adakah anda masih berminat untuk bekerja di Google?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: