4 Tapak Warisan Istimewa Timur Tengah Yang Anda Mungkin Tidak Tahu

Tapak Warisan Istimewa Timur Tengah

Apabila bercakap mengenai warisan monumen timur tengah, pasti kita akan terfikir mengenai Piramid Agung di Giza atau Petra di Jordan bukan?

Bagaimanapun, selain dua tempat tersebut, terdapat beberapa Tapak Warisan Dunia yang juga memainkan peranan besar untuk membantu kita memahami peradaban zaman silam. 

Mari lihat empat tapak UNESCO di timur tengah yang anda perlu tahu.

1. Shibam, Yaman

Sumber: Hidden Architecture

Dibina pada abad ke-16 di Hadhramaut, Yaman, Shibam merupakan salah satu metropolis tertua di dunia. Malah, keseluruhan bangunan di kota ini dibina daripada lumpur.

Selain itu, bangunan-bangunan ini boleh mencecah ketinggian sehingga lapan tingkat. Ianya dibina sebegitu dengan tujuan pertahanan.

Hal ini kerana, struktur bangunan-bangunan ini memberi kelebihan kepada para penghuni untuk melihat kelibat musuh yang menghampiri kota tersebut. Malah, struktur tinggi ini memberi peluang untuk melepaskan diri jika diserang pihak musuh. 

Kota ini juga telah diiktiraf sebagai satu rancangan pembangunan bandar yang baik atas kerana bangunan-bangunannya dapat menyediakan teduhan daripada suhu panas melampau.

Walau bagaimanapun, sejak berlakunya perang di Yaman pada 2015 yang masih lagi tiada penghujung, UNESCO telah meletakkan tapak warisan ini dalam kategori ‘dalam bahaya’.

2. Wadi al-Hitan, Mesir

Sumber: UNESCO

Di Gurun Barat Mesir, 150km dari ibu kota Kaherah, terletak sebuah tapak paleontologi yang sangat penting.

Wadi al-Hitan yang bermaksud lembah ikan paus merupakan tapak dimana fosil ikan paus pra-sejarah atau Basilosaurus yang ditemui pada 2015.

Tapak ini amat penting kerana ia merupakan bukti bagi evolusi mamalia di mana ikan paus berevolusi daripada haiwan darat kepada haiwan marin.

Fosil Basilosaurus yang dijumpai merupakan rangka ikan paus pertama yang pernah hidup sepanjang hidupnya di lautan. 

Namun, jumlah pengunjung ke tapak bersejarah ini sangat kurang kerana ia terletak di padang pasir.

3. Quseir Amra, Jordan 

Sumber: National Geographic

Tapak Quseir Amra di Jordan merupakan salah satu istana gurun terpelihara yang terbaik dari zaman Kerajaan Bani Umaiyah, kerajaan Islam awal yang memerintah wilayah ini antara tahun 661 dan 750.

Istana yang dimiliki oleh al-Walid II ini dikatakan sebuah istana hinggap bagi pemerintah empayar ketika itu. Istana tersebut mempunyai dewan sambutan dan hammam (sebuah rumah mandi panas).

Apa yang menarik di tapak ini dan mengapa ianya disenaraikan dalam UNESCO adalah kerana lukisan muralnya yang mengejutkan dan unik.

Lukisan mural tersebut terdiri daripada subjek seperti penari bogel, pemerintah-pemerintah purba atau asing dan orang memburu haiwan.

Sumber: Middle East Eye

Lukisan-lukisan itu didapati mempunyai pengaruh pagan dan Byzantine. Dikatakan lukisan mural tersebut tidak peduli terhadap larangan Islam untuk menggambarkan haiwan dan manusia.

Semua lukisan mural berkenaan kini sedang menjalani sesi pemuliharaan oleh sekumpulan pakar dari kementerian kebudayaan dan warisan Itali.

4. Meroe, Sudan

Sumber: Britannica

Piramid yang paling terkenal di dunia tidak diragukan lagi terletak di Giza, Mesir, tetapi struktur kuno yang berfungsi sebagai makam raja dan ratu paling banyak adalah di Sudan.

Lebih dari 200 piramid Nubia telah dibina ketika zaman kerajaan Kushite pada abad ke-10 SM sehingga abad keempat Masihi.

Kebanyakkan bahagian atas piramid-piramid ini hilang kerana ia diletupkan oleh pemburu harta karun Itali, Giuseppe Ferlini pada tahun 1834.

Walaupun Meroe mempunyai piramid terbanyak di dunia, ia sangat jarang dilawati kerana tiada infrastruktur yang disediakan untuk tujuan pelancongan.

Ramai warga Sudan berharap dengan kejatuhan Omar alBashir dan negara itu dikeluarkan daripada senarai penaja keganasan Amerika Syarikat, ia dapat menyemarakkan sentimen positif termasuk kehadiran pelancong.

Untuk baca artikel-artikel lain, anda boleh klik pada pautan di bawah: