4 Syarikat Gergasi Dunia Ini Diasaskan Oleh Remaja

Apabila remaja lain sibuk berseronok atau melakukan kerja sambilan untuk menambah pendapatan masing-masing, ada juga yang mula mencipta empayar bernilai jutaan ringgit.

Kami akan kongsikan empat buah syarikat terkenal yang diasaskan sebelum pengasas mereka memasuki usia 20 tahun menerusi artikel ini:

1. WordPress – Matt Mullenweg

Pada tahun 2001, Michel Valdrighi membuat sistem pengurusan kandungan ringkas yang dikenali sebagai B2/cafelog. Matt ialah salah seorang penulis blog yang menggunakan B2/cafelog dan menzahirkan kekecewaannya terhadap masalah teknikal yang sering dihadapi ketika menggunakan platform berkenaan.

Matt yang baru berusia 19 tahun pada waktu itu kemudiannya mencari jalan penyelesaian dengan membangunkan B2/cafelog versi baharu yang kemudiannya dikenali sebagai WordPress.

2. Subway – Fred DeLuca

Sumber: Forbes

Pada tahun 1965, Fred yang berusia 17 tahun memerlukan wang tambahan untuk kuliah. Lelaki itu nekad untuk membuka perniagaan sendiri dan kemudiannya meminjam $1,000 (RM4,128) daripada Peter Buck.

Peter ialah seorang ahli fizik nuklear yang juga merupakan kenalan keluarga Fred. Lelaki itu kemudiannya membuka sebuah kedai sandwic bernama Pete’s Super Submarines di Bridgeport, Connecticut dekat Amerika Syarikat.

Kedai sandwic tersebut kemudiannya dijenamakan semula dengan nama Subway beberapa tahun selepas itu. Jenama itu berkembang dengan cepat sehingga ia menjadi rangkaian makanan segera terbesar dunia.

Subway kini mempunyai 41,600 cawangan di 111 negara dekat seluruh dunia. Fred terus bekerja dengan Subway sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 2015 ketika berusia 67 tahun.

3. Dell – Michael Dell

Apabila Michael baru memasuki University of Texas pada tahun 1984, beliau mencari pendapatan sampingan dengan menaik taraf komputer dan menjualnya.

Pada tahun yang sama, Michael berhenti kuliah ketika berusia 19 tahun untuk memberi tumpuan kepada perniagaannya iaitu PCs Limited. Lelaki itu kemudiannya menukar nama syarikat kepada Dell Computer Corporation dan kemudian Dell Inc.

Syarikat beliau kini merupakan peneraju komputer utama dunia dan bernilai sebanyak RM187 bilion. Michael masih bekerja sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat induknya iaitu Dell Technologies.

4. Facebook – Mark Zuckerberg

Sumber: Forbes

Mark membangunkan laman sesawang Facemash ketika menjadi pelajar tahun pertama Universiti Harvard pada tahun 2003. Facemash menghubungkan rakan-rakannya antara satu sama lain berdasarkan daya tarikan mereka.

Selepas laman sesawang tersebut ditutup, Mark mencipta Facebook di bilik asrama mereka bersama empat orang rakannya iaitu Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz, Andrew McCollum dan Chris Hughes.

Media sosial tersebut membolehkan pelajar Harvard berhubung dalam talian. Walaupun baru berusia 19 tahun pada waktu itu, Mark telah mencipta sesuatu yang mengubah cara dunia berkomunikasi selama-lamanya.

Adakah anda tahu semua syarikat dalam artikel ini diasaskan oleh para pengasas sebelum mereka memasuki usia 20 tahun?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: