4 Sukan Musim Sejuk Yang Pelik Tapi Seronok

Siapa kata cuaca yang sejuk dapat menghentikan keseronokan? Walaupun tidak dinafikan amat selesa untuk dibalut selimut dan dipeluk suam unggun api pada cuaca sejuk, namun masih ramai yang mengambil peluang untuk kekal aktif dengan menyertai sukan musim sejuk.

Mungkin tidak normal untuk kita di Malaysia kerana kita tidak mempunyai iklim empat musim. Namun untuk negara lain yang mempunyai musim sejuk, sukan musim sejuk adalah seperti satu rutin untuk mereka.

Sukan seperti meluncur ais dan hoki ais ialah antara biasa kita dengar. Tapi kali ini penulis ingin berkongsi empat sukan musim sejuk dari seluruh dunia yang penulis temui amatlah pelik tapi mungkin seronok untuk dicuba!

1. Yukigassen

Main baling bola salji adalah perkara biasa untuk mereka yang mempunyai musim sejuk. Namun Yukigassen mengangkatnya ke tahap yang lagi tinggi.

Yukigassen berasal daripada Jepun namun telah tersebar dan menjadi popular di negara dengan iklim sejuk lain seperti Norway, Russia, Finland, Sweden, Alaska dan Canada.

Bukan seperti ‘perang salji’ yang biasa, Yukigassen ialah satu ‘perang salji’ yang amat kompetitif. Dalam sukan ini akan terdapat dua kumpulan yang bertembung dalam satu perlawanan salji selama 3 minit.  

Mereka dibekalkan dengan 90 biji bola sajli dan objektif mereka adalah untuk keluarkan semua pemain lawan, seperti dodgeball ataupun merampas bendera pihak musuh.

Fuh seronoknya! Kalau berpeluang untuk pergi negara bersalji nanti bolehlah cuba ajak kawan main sukan ini.

2. Kayak salji

Anda pernah berkayak? Kalau ya dan anda sukakannya mungkin anda patut cuba sukan kayak versi berbeza sedikit daripada yang biasa ini

Daripada menggunakan kayak di atas air, sukan kayak salji ialah apabila anda berkayak di atas salji. Seperti kayak biasa, orang yang berkayak diberikan satu pendayung untuk mengawal kayaknya semasa menuruni laluan bersalji.

Kalau jalannya curam, kelajuan kayak ini boleh mencecah sehingga 60 kilometer sejam. Kalau anda berani bolehlah letakkan sukan ini di dalam senarai untuk dicuba.

3. Renang beruang kutub

Pernah berenang di dalam air yang amat sejuk ketika musim salji? Tidak? Penulis pun. Namun ia sepertinya satu hal yang normal buat orang yang menyertai sukan renang beruang kutub

Renang beruang kutub adalah sukan di mana perenang harus berenang di dalam air kolam yang sejuk beku dan berlumba untuk jarak sejauh 80 meter dengan hanya memakai pakaian renang.

Sukan musim sejuk yang ekstrim ini diadakan pada Januari setiap tahun di Korea Selatan. Semenjak 1988, pertandingan renang beruang kutub telah dilangsungkan di Pantai Haeundae setiap tahun bagi menyambut tahun baru.

4. Lumba Penyodok

Tiada kasut atau papan luncur untuk meluncur di atas ais? Jangan risau, hanya ambil penyodok anda dari dalam stor dan anda boleh sertai sukan aneh ini.

Lumba penyodok adalah sukan di mana anda akan berlumba dan meluncur menggunakan penyodok. Ia dikatakan berasal daripada New Mexico pada awal 1970-an. Kerana Ia merupakan satu sukan yang merbahaya, ia pernah dilarang untuk beberapa tahun.

Sukan ini pernah menjadi sebahagian daripada Winter X Games namun tidak lagi kerana dianggap terlalu merbahaya. Namun masih terdapat sesetengah komuniti yang mengembalikan sukan ini.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: