Dengan tahun 2021 kini ingin melabuhkan tirainya, jom kita lihat beberapa adat sambutan tahunan baharu yang unik di negara Asia Tenggara.
Untuk pengetahuan anda, selain daripada sambutan tahun baharu pada 1 Januari yang mengikut kalendar biasa ataupun lebih dikenali kalendar Gregory, terdapat juga sambutan tahun baru yang lain, diamalkan oleh kaum-kaum yang berbeza di Asia Tenggara.
Berikut adalah empat daripadanya yang penulis rasa menarik untuk dikongsikan:
- Festival ‘Songkran’ di Thailand

Songkran merupakan perayaan yang paling terkenal di Thailand. Perayaan air ini, yang menandakan permulaan Tahun Baru Thai tradisional, merupakan acara penting dalam kalendar Buddha. Songkran berasal daripada istilah Sanskrit yang bermaksud ‘melewati’ atau ‘mendekati.’
Disambut pada 13-15 April setiap tahun, Songkran merupakan sebauh perayaan penyucian di mana aktiviti utamanya adalah memercik air ke atas orang lain sebagai tanda keberkatan.
Ha, jika anda berasa nak disimbah air, bolehlah datang menyambut tahun baharu di sini.
2. Sambutan Awal Muharram

Sambutan ini sudah tidak asing lagi untuk negara kita, Malaysia dan negara Indonesia kerana majoriti penduduk beragama Islam. Sambutan ini adalah untuk memperingati peristiwa Hijrah yang penting.
Hari Awal Muharram atau Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Berlaku pada 1 Muharam, ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah.
Kalau kita dekat Malaysia, selain daripada beribadah, kita juga akan membuat jamuan makan bagi meraikan perayaan ini.
3. Tahun Baru Lunar

Sambutan ini juga tidak asing lagi di Malaysia, kerana mempunyai integrasi penduduk bangsa Cina dalam masyarakat Malaysia. Sama seperti di Cina, komuniti orang Cina di Filipina, Vietnam dan Malaysia khususnya meriah dalam menyambut tahun baru ini.
Ia dipanggil Tahun Baru Lunar kerana ia menandakan bulan baru pertama dalam kalendar lunisolar tradisional yang digunakan banyak negara Asia timur termasuk China, Korea Selatan dan Vietnam, yang dikawal oleh kitaran bulan dan matahari.
Antara tradisi yang diturunkan dalam menyambut tahun baharu ini ialah tarian singa dan naga, kuih bulan serta pesat makan yang besar.
4. Tahun Baru Khmer di Cambodia

Tahun Baru Kemboja, juga dikenali sebagai Choul Chnam Thmey atau Tahun Baru Khmer, ialah perayaan tradisional tahun baru Lunar di Kemboja. Biasanya jatuh pada 13 atau 14 April, sambutan ini diadakan bagi meraikan tahun baru Lunar dan akhir musim menuai.
Perayaan Tahun Baru Khmer berasal dari Bramhmanisme, sebahagian daripada agama Hindu, yang merupakan agama yang dipercayai Khmer sebelum agama Buddha. Kemudian, agama Buddha dikaitkan dengan perayaan dan kemudian mengambil semua peranan penting dalam perayaan itu.
Perayaan ini disambut selama 3 hari, berbeza daripada sambutan Tahun Baru Lunar di negara lain, negara ini mengutamakan ciri unik budaya penganut Buddha.
Jadi, perayaan mana yang paling menarik minat anda? Kalau anda tahu sambutan tahun baharu yang lagi menarik boleh kongsikan di ruangan komen di bawah.
Apa-apapun selamat menyambut tahun baharu 2022 saya ucapkan. Moga tahun ini akan menjadi tahun yang lagi baik untuk anda daripada tahun yang sebelumnya.
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: