Kami kongsikan empat perkataan yang digunakan dalam kehidupan seharian kita dan mempunyai sejarah yang sangat panjang, aneh dan ada ketikanya melucukan dalam artikel ini.
1. Syampu berasal daripada perkataan Hindi

Syampu yang kini merujuk kepada bahan cecair yang kita gunakan untuk membersihkan rambut sebenarnya berasal daripada perkataan Hindi champo.
Perkataan champo pada asalnya membawa maksud menekan atau mengurut sesuatu sehingga ia sebati dan ia kerap digunakan dalam perbuatan menguli tepung.
Champo kemudiannya diperluaskan lagi maknanya dengan merujuk kepada perbuatan seseorang mengurut kepala mereka dengan minyak untuk membuatkan kulit kepala mereka menjadi lebih sihat.
Ketika zaman penjajahan Inggeris di India, masyarakat Britain di sana mula menggunakan istilah champo untuk merujuk kepada perbuatan mencuci kepala.
2. Log masuk berasal daripada aktiviti pembalakan

Perkataan log membawa maksud kayu pokok yang besar dan aktiviti pembalakan telah menjadi salah satu industri besar sejak zaman dahulu lagi.
Semua kayu log yang telah ditebang akan diangkut dengan kapal semasa abad ke-17. Setiap rekod maritim berkaitan urusan penting dalam pengurusan, operasi dan pelayaran kapal pengangkut kayu itu akan direkodkan dalam sebuah buku yang dikenali sebagai logbook.
Urusan rekod-merekod ke dalam buku ini akhirnya mula dirujuk sebagai satu perbuatan sehingga ia menjadi kata kerja. Log masuk digunakan kali pertama untuk memasukkan rekod atau data ke dalam komputer sekitar tahun 1963.
3. Wedding pula berasal daripada perbuatan judi

Wedding membawa makna persetujuan untuk bersatu tetapi apa yang ramai orang tidak sangka adalah kata dasarnya iaitu wed sebenarnya mempunyai maksud yang jauh berbeza dan agak melucukan jika ia dikaitkan dengan perkahwinan.
Wed atau wedd berasal daripada istilah wadh dalam bahasa Proto-Indo-Eropah. Wadh bermaksud mempertaruhkan sesuatu yang bernilai dan ia lebih mirip dengan perbuatan berjudi.
Maksud wadh itu juga diamalkan secara lebih meluas dalam bahasa lama Norse dan Jerman serta Denmark. Untuk pengetahuan semua, bahasa Inggeris kuno telah meminjam istilah tersebut dan ubah perkataan itu menjadi weddung yang membawa maksud sama dengan wadh.
Mereka juga menambah maksud weddung itu sebagai dua jiwa yang mempertaruhkan diri dengan satu sama lain ataupun berkahwin.
4. Kamera merujuk kepada bilik gelap

Sebelum perkataan kamera digunakan untuk merujuk kepada peranti untuk menangkap gambar, ia sebenarnya telah digunakan terlebih dahulu dalam bahasa Latin untuk merujuk kepada ruangan bilik yang bertutup dalam keadaan gelap dan suram.
Perkataan ini mula digunakan dalam istilah camera obscura iaitu bilik di mana tayangan atau projeksi visual dapat dilihat pada tirai yang dipasang.
Idea asas tentang proses rakaman fotografi dan pengimejan tradisional mula dibangunkan daripada peralatan camera obscura. Kamar dalam bahasa Melayu juga masih mengekalkan istilah asal yang merujuk kepada bilik tertutup untuk privasi.
Pada pendapat anda, apakah perkataan yang mempunyai sejarah yang paling sukar untuk dipercayai?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: