4 Lagu Siulan Ramai Ini Dicipta Dalam Masa Yang Singkat

Lagu yang baik ini kebiasaannya mengambil masa yang panjang untuk dihasilkan terutamanya apabila sang pencipta mahu mengutarakan konsep atau tema tertentu dalam karya mereka.

Menerusi artikel ini, kami sebaliknya akan kongsikan empat lagu yang dihasilkan secara spontan tetapi meninggalkan kesan yang sangat besar pada industri muzik di seluruh dunia:

1. Adele – Skyfall (2012)

Adele mendapat kepercayaan untuk mendendangkan lagu runut bunyi utama filem ikonik James Bond. Namun, apa yang lebih menarik ialah ia hanya mengambil masa selama 10 minit sahaja untuk menyiapkan lirik lagu ini.

Walau bagaimanapun, proses yang paling memakan masa dalam menyiapkan lagu tema filem ini ialah penghasilan muziknya yang memerlukan 77 peralatan orkestra.

Dibekalkan dengan skrip filem berkenaan untuk memahami tema Skyfall, penyanyi terkenal itu hadir ke studio dengan menulis keseluruhan lagu itu di atas kertas sebelum merakamkannya 10 minit kemudian.

2. The Beatles- Yesterday (1965)

Mula menjadi buah mulut berikutan melodinya yang sangat ringkas tetapi menyentuh jiwa, Yesterday merupakan garapan salah satu ahli kumpulan berkenaan iaitu Paul McCartney yang masih menjadi siulan ramai sehingga ke hari ini.

Namun, apa yang lebih mengagumkan adalah Paul sendiri menyifatkan keseluruhan melodi Yesterday itu hadir kepadanya dalam mimpi sehingga dia sendiri tidak tahu apa proses penghasilan lagu tersebut.

Tidak berhenti di situ, Paul memainkan melodi lagu itu kepada semua orang di sekelilingnya untuk memastikan idea itu benar-benar asli.

Hal ini demikian kerana Paul mahu kenal pasti sama ada dia tertiru mana-mana lagu yang pernah didengarinya. Selepas mendapat pengesahan bahawa ia adalah idea asli dirinya, Paul mengambil masa lebih daripada dua minggu untuk menghasilkan lirik lagu Yesterday.

3. The Guess Who- American Woman (1970)

Akibat terputus dalam sebuah konsert, anggota kumpulan lain terpaksa menghentikan persembahan itu sehingga Randy Bachman selesai menggantikan tali gitar tersebut.

Untuk mendapatkan talaan tali yang betul, gitaris itu menekan nota E dan B di piano sambil memetik gitar berulang kali.

Walau bagaimanapun, melodi yang terhasil pada waktu itu diulang-ulang sehingga para penonton menjangkakan kumpulan itu bakal menyambung persembahan mereka.

Randy meneruskan ‘persembahan’ tersebut secara bersendirian sebelum pemain dram iaitu Garry Peterson menyertai lagu berkenaan.

Gitaris itu pun memainkan melodi berkenaan berulang kali supaya dia mampu mengingati lagu tersebut sebelum vokalis The Guess Who iaitu Burton Cummings menyertai persembahan itu dengan mendendangkan apa sahaja yang terlintas dalam mindanya pada waktu itu.

Selepas persembahan itu berakhir, kumpulan itu duduk semula untuk menghasilkan lagu terkenal mereka iaitu American Woman yang masih lagi menjadi siulan ramai sehingga ke hari ini.

4. Taylor Swift – We Are Never Ever Getting Back Together (2012)

Taylor Swift pernah melalui fasa di mana penyanyi itu menghasilkan muzik yang lebih menjurus ke arah country dan pop rock.

Memetik laporan Iluminasi, proses penghasilan lagu ini sangat mudah. Selepas Taylor diajukan soalan berkenaan hubungannya dengan seorang lelaki yang telah menemui tanda noktah dan sama ada mereka akan kembali bersama, penyanyi itu seolah-olah ‘menyampah’ dengan pertanyaan itu lalu memetik gitar.

Taylor rasakan melodi yang terhasil pada ketika itu dengan ungkapan “we are never” adalah menarik lalu penyanyi itu dengan bantuan produsernya mula memperkembangkan idea berkenaan sehingga ia menjadi satu buah lagu yang lengkap.

We Are Never Ever Getting Back Together hanya mengambil masa selama 25 minit sahaja untuk siap sepenuhnya.

Kesimpulannya, bukan semua lagu yang disiapkan dalam masa singkat itu tidak dapat meninggalkan impak yang besar kepada dunia muzik antarabangsa.