Kemudahan teknologi banyak membantu memudahkan urusan kehidupan seharian kita sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, bukan semua teknologi yang kelihatan ‘baharu’ benar-benar baru dibangunkan.
Berbeza dengan tanggapan orang ramai, kebanyakan produk yang kita anggap baharu sebenarnya sudah lama wujud. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan tiga teknologi produk yang dianggap baharu tetapi sebenarnya sudah lama wujud.
1. Penggoreng kering (air fryer)

Sebelum kita sampai ke tahap di mana penggunaan penggoreng kering sudah berleluasa seperti sekarang, teknologi di belakang air fryer sebenarnya sudah lama wujud.
Memetik laporan Iluminasi, sebuah mesin yang mampu memasak menggunakan tekanan udara supaya khasiat dalam daging tidak hilang telah dipatenkan sekitar tahun 1904.
Pada tahun 1944, William L. Maxson telah membangunkan Maxson Whirlwind Oven iaitu sejenis ketuhar yang boleh memasak dan memanaskan semula sehingga enam hidangan berbeza serentak dalam masa 15 minit tanpa memerlukan minyak.

Dengan menambah kipas di bahagian belakang Maxson Whirlwind Oven, ia berupaya mengedarkan udara panas di sekeliling makanan sekali gus menyingkirkan zon sejuk dan panas dalam ketuhar berkenaan.
Menerusi laporan New Air, William telah menghalang udara panas daripada terkumpul di dalam satu bahagian ketuhar sahaja apabila menambah kipas sebaliknya ia tersebar secara merata ke atas makanan-makanan di dalam Maxson Whirlwind Oven.
Idea untuk mengkomersialkan penggoreng kering ditambah baik membolehkan kita menikmati makanan bergoreng seperti ayam, stik, ikan atau ubi kentang dalam kadar kalori yang lebih rendah akibat ketiadaan penggunaan minyak.
2. Telefon dengan skrin sentuh

Dikawal dengan sentuhan, Apple iPhone yang dilancarkan pada tahun 2007 adalah peranti pertama di dunia yang berjaya menyatukan teknologi skrin sentuh dan sistem antara muka yang efektif.
Inovasi itu membuatkan produk keluaran Apple itu berbeza daripada para pesaingnys yang lain. Walau bagaimanapun, banyak syarikat sebenarnya telah cuba eksperimentasi idea untuk teknologi itu berdekad-dekad lebih awal daripada Apple.
Untuk pengetahuan semua, IBM Simon yang dikeluarkan pada tahun 1994 adalah produk pertama yang berjaya menyatukan skrin sentuh dengan sistem antara muka.
Direka oleh International Business Machines (IBM) dan dikeluarkan oleh Mitsubishi Electric, IBM Simon adalah peranti pertama yang layak digelar telefon pintar kerana fungsi-fungsi terbina di dalamnya.
Dengan IBM Simon, anda mampu melakukan dan menerima panggilan telefon, faks dan e-mel. Telefon itu juga mempunyai pelbagai aplikasi seperti kalendar, pengurus jadual harian, kalkulator, jam dan nota elektronik serta mampu menterjemahkan tulisan pengguna yang dibuat menggunakan pen elektronik kepada teks.
3. Fon telinga tanpa wayar

Teknologi tanpa wayar sebenarnya dibangunkan daripada dua idea dan teknologi. Pertama adalah fon telinga yang dicipta oleh jurutera Perancis Ernest Mercadier pada tahun 1891.
Ciptaan kedua pula melibatkan fon kepala tanpa wayar yang diperkenalkan pada dekad 1960-an dan 1970-an oleh beberapa syarikat berbeza.
Dikenali sebagai radio headphone, ia menggunakan antena radio modulasi amplitud (AM) atau modulasi frekuensi (FM) terbina dalamnya dan dua inci pembesar suara dalam setiap padded earcup.
Fon kepala tanpa wayar ini membenarkan pengguna membawa dan mendengar radio mereka ke mana-mana sahaja mereka pergi. Dibentuk menyerupai fon kepala yang kita guna sekarang, radio headphone membenarkan isyarat radio diterima pengguna akan dimainkan di pembesar suara yang dipasang di telinga kita.
Pada pendapat anda, apakah teknologi-teknologi lain yang dianggap baharu tetapi sebenarnya sudah lama wujud?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: