3 Pulau Unik Ini Dikuasai Haiwan Tertentu

Kami kongsikan tiga pulau unik di seluruh dunia yang mana sebahagian besar daripada populasi di tempat ini adalah spesies haiwan tertentu dan bukannya manusia.

1. Tashirojima, Jepun

Sumber: Live Japan

Terletak di Ishinomaki, Tashirojima ialah segugus pulau kecil yang didiami oleh lebih 100 ekor kucing dan 60 orang manusia. Terdapat dua sebab utama kenapa si bulus ini sangat penting kepada pulau tersebut.

Menurut Live Japan, penduduk pulau itu menternak ulat sutera untuk menganyam tekstil pada masa dahulu. Mereka membela kucing kerana haiwan ini sangat penting untuk melindungi ulat sutera daripada dimakan tikus.

Selain itu, kebanyakan daripada penduduk pulau itu adalah nelayan. Mereka boleh menjangkakan cuaca dan hasil tangkapan pada hari tersebut daripada sikap dan tingkah laku kucing-kucing setiap hari.

2. Pulau Assateague, Amerika Syarikat

Sumber: Britannica

National Park Service melaporkan kuda-kuda liar di pulau ini adalah haiwan feral. Turut dikenali sebagai Chiconteague Pony, ia merupakan keturunan haiwan peliharaan yang telah kembali kepada keadaan liar.

Terdapat kisah legenda di sebalik kewujudan Chiconteague Pony di Pulau Assateague. Menurut legenda tempatan, kuda-kuda liar ini adalah mangsa yang terselamat daripada bangkai kapal yang terdampar di pulau Virginia.

Walau bagaimanapun, pakar percaya Chiconteague Pony merupakan keturunan kuda-kuda yang dibawa ke pulau-pulau yang terpisah dari pulau utama seperti Assateague oleh penjajah yang ingin melarikan diri daripada undang-undang pagar (fencing law) dan cukai ternakan pada lewat abad ke-17.

3. Ōkunoshima, Jepun

Sumber: Japan Experience

Kini merupakan syurga buat pencinta arnab, Ōkunoshima sebenarnya menyimpan rahsia dan sejarah yang agak gelap daripada Perang Dunia Kedua.

Turut dikenali sebagai Usagi Jima atau Pulau Arnab, bagaimana haiwan itu mula mendiami pulau itu masih menjadi misteri sehingga ke hari ini.

Kebanyakan sejarawan percaya kerajaan Jepun membawa arnab-arnab ke pulau itu bermula dari tahun 1929 untuk melakukan uji kaji senjata kimia.

Menurut All That’s Interesting, Okunoshima ialah fasiliti uji kaji untuk gas mustard yang beracun dan ia menghasilkan lebih enam kilotan gas tersebut ke atas arnab ketika Perang Dunia Kedua.

Ada juga yang percaya arnab-arnab yang kini mendiami Ōkunoshima merupakan keturunan daripada lapan ekor arnab yang dibebaskan ke pulau itu oleh sekumpulan pelajar sekolah pada tahun 1971.

Pernahkah anda melawat mana-mana pulau yang tersenarai dalam artikel ini?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: